PENGENALAN
Perkataan usahawan mula diperkenalkan
dalam tahun 1970 iaitu semasa pelancaran Dasar Ekonomi Baru. Ianya bukanlah
satu perkara yang baru kepada masyarakat. Pada zaman Melayu Melaka, mereka
melibatkan diri dalam bidang perniagaan dipanggil sebagai pedagang manakala
pada tahun 1990-an mereka dikenali sebagai peniaga. Perkataaan usahawan
mempunyai erti yang sama dengan perkataan Inggeris iaitu ‘entrepreneur’ yang
berasal daripada bahasa Perancis, ‘entreprender’ yang bermaksud memikul tugas
atau mencuba. Usahawan merupakan individu atau seseorang yang mengusahakan
sesuatu perniagaan dan mengambil risiko perniagaan yang diceburinya sehingga
berjaya dengan motif memperoleh keuntungan di samping mengamalkan amalan-amalan
yang strategik untuk terus berjaya.
Usahawan juga merupakan penggerak dan
pemangkin ekonomi sesebuah negara. Sesebuah negara tidak akan mencapai taraf
sebagai negara maju sekiranya tidak mempunyai usahawan yang berjaya serta
berdaya saing yang tinggi. Hal ini kerana usahawanlah yang menjadi tulang
belakang dan nadi penggerak ekonomi sesebuah negara. Secara tidak langsung
usahawan juga dapat menaikkan nama sesebuah negara di persada bisnes dunia
apabila usahawan membawa nama negara semasa mempromosikan barangan mereka di
luar negara. Usahawan bukan hanya mengejar keuntungan semata-mata, namun,
mereka turut menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat seperti memberi
derma kepada pihak yang kurang berkemampuan. Kebanyakan usahawan yang telah
berjaya sekarang, pernah mengalami kegagalan suatu masa dahulu, namun mereka
tidak mudah menyerah kalah dan bangkit kembali untuk mencapai kejayaan.
Untuk menjadi seorang usahawan berjaya bukanlah perkara mudah kerana
banyak halangan yang harus ditempuhi, namun ia bukanlah perkara mustahil untuk
dicapai kerana dimana ada kemahuan disitu pasti ada jalannya. Oleh yang
demikian, untuk menjadi usahawan yang berjaya dan cemerlang seseorang individu
tersebut perlulah mempunyai ciri-ciri keusahawanan yang tinggi dalam diri
mereka sendiri agar perniagaannya dapat bergerak maju seiring dengan kemajuan
dunia seperti mempunyai rangkaian usahawan, mengambil risiko terbuka, menjadi
pemerhati untuk masa yang akan datang, mempunyai visi yang jelas, harus terima
kekalahan yang mungkin dihadapinya kelak, berfikiran terbuka, mempunyai
objektif yang diorientasikan, kerja berpasukan dan mestilah seorang yang
proaktif.
A)
CIRI-CIRI
KEUSAHAWANAN
Rangkaian Usahawan (Networked)
Rangkaian adalah salah satu ciri yang
perlu ada dalam perniagaan dan ia juga memainkan peranan penting untuk kejayaan
seseorang usahawan. Sekiranya usahawan mempunyai rangkaian yang baik, cekap dan
efektif untuk pengguna luaran dan dalaman ianya akan menjadi satu kelebihan
terhadap peluang perniagaan dan menyelesaikan masalah mengenai perniagaan
mereka. Selain itu, hubungan rangkaian yang baik juga membolehkan para usahawan
mendapatkan sokongan dan kerjasama dari lingkaran rangkaian. Oleh itu, setiap
usahawan yang di luar sana yang ingin berjaya perlu membina serta membentuk
kemahiran rangkaian, kerana ia akan menjadi pemangkin kepada pencapaian sasaran
dan objektif perniagaan.
Ciri yang besar bagi usahawan yang
berjaya ialah mereka sentiasa mempunyai rangkaian yang luas antara satu sama
lain. Ramai sasterawan semasa bekerjasama dengan usahawan menyokong hujah
bahawa rangkaian merupakan faktor yang paling penting dalam menjayakan usaha
keusahawanan baru. Rangkaian adalah taktik pemasaran tunggal yang paling
berkuasa untuk mempercepatkan dan mengekalkan kejayaan mana-mana individu atau
organisasi. Rangkaian merupakan perhubungan yang dibina untuk berkekalan dan
saling menguntungkan antara usahawan dan mereka yang terlibat. Rangkaian atau jaringan
juga bermaksud, jaringan perniagaan (Larson, 1992: Baker, 1994: Holmlund &
Tornroos, 1997) atau dikenali juga sebagai jaringan formal (Dollinger, 1995)
atau ‘extended network’ (Aldrich, et al, 1989) merupakan hubungan yang pada
amnya berasaskan aktiviti yang berkaitan dengan perniagaan. Rangkaian
perniagaan merupakan hubungan yang wujud di antara beberapa individu di dalam
sesebuah perniagaan termasuklah peniaga, pembekal atau pemborong, pelanggan,
pihak bank, akauntan, kerajaan, persatuan perniagaan, badan-badan professional
dan seumpamanya.
Jaringan perniagaan ini sebagai satu
proses saling bergantungan antara dua individu yang mana interaksi dan
pertukaran yang berterusan berlaku (Holmlund & Tornroos, 1997). Tetapi
hubungan dalam jaringan perniagaan ini juga boleh berlaku lebih daripada dua
individu (triads relationship) yang mana hubungan- hubungan ini akan mewujudkan
rantaian jaringan hubungan antara usahawan dengan pihak luaran. Selain itu,
dalam membentuk rangkaian atau jaringan juga mempunyai pelbagai kelebihan
seperti kemudahan untuk mencapai (accessibility), reputasi dan jangkaan atau
pengharapan (expectation). Dengan terbentuknya rangkaian usahawan, ia dapat
mencapai matlamat dengan lebih mudah.
Rangkaian usahawan boleh dibahagikan
kepada dua jenis iaitu rangkaian rasmi (formal networking) atau rangkaian tidak
rasmi (informal networking). Rangkaian rasmi merupakan hubungan yang sedia ada
di antara pelbagai pihak yang mempunyai hubungan symbiotic (suatu hubungan yang
terbentuk daripada kebudayaan masing-masing yang hampir sama) dengan usahawan
tersebut manakala rangkaian tidak rasmi terjalin melalui semasa zaman
kanak-kanak, rakan kepada salah seorang keluarga dan orang yang berkongsi minat
atau hobi yang sama.
Contoh usahawan yang mempunyai
rangkaian yang hebat ialah Datin Mina yang berasal dari Ipoh, Perak. Beliau
berjaya mendapat hak francais bagi mengedar dan menjual barangan The Body Shop melalui syarikatnya, Rampai Niaga Sdn. Bhd.
Hal ini kerana semasa Datin Mina berada di England beliau sering ke kedai The Body Shop dan bukan sahaja meminati
pelbagai produk yang ada di sana malah menyukai segala aktiviti kempen yang
dianjurkan. Apabila pulang ke Malaysia, Datin Mina masih terus memesan barangan
keluaran kedai tersebut dari rakan-rakannya yang berkunjung ke London. Kerana
minat yang mendalam, beliau merancang dan berusaha membawa produk tersebut ke
Malaysia.
Kedai pertamanya dibuka pada 8
Disember 1984 di Yow Chuan Plaza, Kuala Lumpur. Pada masa itu, Datin Mina belum
mempunyai pengalaman menjalankan perniagaannya. Perniagaan The Body Shop dimulakan bersama rakan kongsinya, Mariam Tun
Sulaiman. Wanita itu adalah isteri kepada rakan suaminya. Puan Mariam pada
waktu itu adalah usahawan Amway yang berjaya. Di kedai mereka, Datin Mina
menguruskan aktiviti dagangan manakala Puan Mariam menguruskan hal ehwal
perhubungan awam. Perniagaan mereka berkembang dengan pesat dan mendapat
sambutan yang amat menggalakkan.
Hal ini dapat menjelaskan lagi bahawa
Datin Mina merupakan usahawan yang bijak mencari rangkaian demi memperluaskan
dan menjayakan perniagaannya sendiri. Beliau sedar bahawa rakannya Puan Mariam
merupakan seorang usahawan yang telah mempunyai pengalaman sedia ada dalam
bidang tersebut dan pastinya Puan Mariam ini telah mempunyai ramai kenalan
dalam bidang perniagaan. Oleh yang demikian jika Datin Mina mempunyai kerjasama
dengan Puan Mariam pasti perniagaan barangan The Body Shop ini akan berkembang maju.
Berani mengambil risiko (Open
risk taker)
Seseorang usahawan tentunya memiliki
ciri-ciri tertentu yang dapat membolehkan mereka berjaya dalam bidang yang
diceburi. Dalam hal ini ciri yang perlu ada dalam diri seseorang usahawan ialah
sanggup mengambil risiko dan mempunyai rangkaian hubungan dengan ramai pihak.
Seperti yang sedia maklum bahawa, hukum bagi sesuatu risiko ialah semakin
tinggi risiko, semakin tinggi pulangannya. Seseorang usahawan haruslah mengira
dan memperhitungkan risiko yang bakal dihadapi bagi mengelakkan kemungkinan kerugian
pada masa hadapan.
Berani mengambil risiko merupakan salah satu konsep
keusahawanan yang perlu ada dalam jiwa seorang usahawan. Hal ini demikian
kerana keneranian mengambil risiko memang ciri penting kejayaan dalam
perniagaan. Persaingan segit dunia perniagaan kini menjadikan kemampuan
mengurus risiko semakin penting dan kritikal. Usahawan perlulah meluangkan masa
belajar mengenai pengurusan risiko. Malahan kejayaan perniagaan tidak boleh
bergantung kepada nasib dan perniagaan perlu diurus dengan pengetahuan dan
kebijaksanaan untuk mendapat kelebihan dalam persaingan.
Ramai usahawan menanggung padah kerana membuat
keputusan perniagaan tanpa menilai kewujudan risiko secukupnya dengan tidak
menganalisa, membuat kajian serta tinjauan yang mantap dari segi penilaian
sesuatu risiko yang bakal dihadapi. Hal ini demikian kerana sudah banyak
berlaku kes usahawan berdepan masalah selepas membuat keputusan pelaburan
barutanpa mengkaji dengan terperinci risiko berkaitan keputusan itu. Risiko
yang bakal dihadapi seorang usahawan haruslah diurus dengan baik dan dalam
mengurus risiko tersebut usahawan perlu membayangkan setiap kemungkinan hasil
sesuatu tindakan atau kegiatan yang ingin diputuskan (Stidcompapp, 2015).
Selain itu, bagi ciri ini, kami telah
memilih Datuk Dr Azlina Binti Hj. Che Abdullah sebagai tokoh usahawan yang
memiliki ciri-ciri berani mengambil risiko. Datuk Dr Azlina Binti Hj. Che
Abdullah merupakan peneraju kepada syarikat produk kecantikan dan kesihatan
yang dipercayai iaitu D’ Navechee Beauty (M) Sdn.Bhd yang disegani dan menjadi
ikon bagi anak muda yang ingin menceburi dalam bidang perniagaan. Pada awal
permulaan karier beliau, Datuk Dr Azlina Binti Hj. Che Abdullah telah menempuhi
pelbagai dugaan dan cabaran. Hal ini menyebabkan beliau menjadikan dirinya
lebih matang dan bijak merebut peluang yang ada. Malahan Datuk Dr Azlina Binti
Hj. Che Abdullah juga dikatakan sanggup mengambil risiko dengan menggadaikan
apa sahaja yang dimilikinya seperti menjual aset yang ada bagi mambuka syarikat
walaupun ketika itu kegawatan ekonomi berlaku.
Seterusnya, dalam usaha untuk
menempuh kejayaan dalam bidang yang diceburi, setiap usahawan itu perlu
menempuh pelbagai cabaran dan risiko yang tersendiri. Bagi Datuk Dr Azlina
Binti Hj. Che Abdullah, niatnya ingin memulakan perniagaan dalam keadaan
kegawatan ekonomi yang sedang berlaku akan memungkinkan dianggap tindakan yang
kurang bijak. Walaupun begitu, beliau menyedari risiko akan keputusannya untuk
memulakan perniagaan pada ketika kegawatan ekonomi berlaku, namun beliau tidak
gentar di mana prinsip beliau ketika itu ialah “Orang yang bijak akan sentiasa
mencari cara atau jalan untuk berjaya, sedangkan orang yang gagal pula sibuk
mencari alasan”. Berbekalkan kesungguhan beliau yang ada pada dirinya, beliau
kini mampu berdiri megah sebaris dengan jutawan kosmetik yang lain. Berbekalkan
pengalaman, pengetahuan dan semangat ingin berjaya, beliau mampu menjadi tokoh
yang disegani malah pernah menerima anugerah kehormat daripada Sultan atau Raja
di negeri masing-masing (Shiroro, 2015).
Kesimpulannya,
seseorang usahawan tidak perlu takut akan mengambil risiko. Hal ini demikian
kerana setiap risiko yang dihadapi sebagai peluang untuk mengaut keuntungan.
Malahan kejayaan yang diraih oleh usahawan pada masa ini tidak datang bergolek.
Kebanyakkan dari mereka terpaksa berdepan dengan cabaran dan risiko yang
mungkin akan memberi kesan terhadap masa depan usahawan tersebut.
Pemerhati (Observant)
Observant bermaksud taat, atau dalam
konteks perniagaan membawa maksud penglihatan atau lebih spesik dikatakan
teliti dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Selain itu, observant daripada
konteks bahasa Melayu ialah seseorang yang memberi prihatin yang banyak dalam
melakukan sesuatu perkara ataupun seseorang yang sentiasa melakukan sesuatu
perkara dengan berhati-hati. Untuk menjadi usahawan yang berjaya, seseorang itu
perlu prihatin ke atas persekitaran dan merebut segala peluang yang ada dalam
usaha memajukan perniagaan supaya mereka boleh terus berjaya atau mempu
bertahan atas usaha mereka. Di samping itu, usahawan perlu mempunyai
penglihatan yang tajam, mempunyai kebijaksaan serta berpandangan jauh.
Contoh usahawan yang pemerhati
(observant) ialah Lee Byung Chul yang merupakan pengasas Samsung. Beliau
dilahirkan pada 19 Februari 1920. Beliau adalah anak kepada keluarga bangsawan
dan menghadiri kolej di Tokyo tetapi tidak sempat menghabiskan pengajiannya
kerana kematian bapanya. Pada tahun 1938, Lee Byung Chul menubuhkan sebuah
syarikat perdagangan eksport yang diberi nama Samsung Trading Co. Syarikat ini
mengeksport barang-barang seperti ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan ke
negara-negara seperti China dan Jepun.
Lee Byung Chul boleh dijadikan
sebagai contoh usahawan pemerhati (observant) kerana mampu melihat peluang,
mengambil risiko serta mengubah masa depan untuk menandingi syarikat elektronik
lain seperti Nokia, Motorola, Sony dan sebagainya. Lee Byung Chul menceburi
bidang elektronik setelah melihat peluang yang cerah dalam bidang tersebut.
Selepas sembilan tahun penubuhan Samsung Electronics, syarikat ini telah
berjaya mengeluarkan 2 juta unit produk elektronik mereka iaitu televisyen
hitam-putih (tanpa warna). Pada Mac 1984, syarikat berkenaan berjaya lagi
mengeluarkan 5 juta set televisyen berwarna dan menjadi syarikat ketiga di
dunia selepas Jepun dan Belanda.
Selain itu juga, beliau sebagai
usahawan “observant” apabila beliau berfikir melangkaui fikiran orang lain,
iaitu berjaya mencipta memori chips dan secara tidak langsung telah menjadikan
Samsung sebagai pengeluar terbesar memori chips dan pembuat kedua memory chips
selepas Intel.
Dengan perkembangan yang begitu
memberansangkan, kini Samsung telah mencipta pelbagai jenis telefon bimbit yang
mempunyai pelbagai fungsi yang berlainan dari semasa ke semasa mengikut
peredaran teknologi. Sifat “observant” yang ada pada Lee Byung Chul menjadikan
Samsung sebagai sebuah syarikat teknologi yang bertaraf tinggi setanding dengan
jenama “Apple”. Walaupun produk Samsung merupakan antara produk teknologi yang
mahal di dunia disebabkan ciri-ciri keistimewaannya sendiri, namun ia berjaya
meyakinkan pengguna terhadap penggunaan Samsung. Walau bagaimanapun, Samsung
juga mencipta telefon bimbit yang harganya lebih rendah mengikut kesesuaian pengguna
masing-masing. Disebabkan beliau mempunyai pemikiran yang tajam, mempunyai
kebijaksaan serta berpandangan jauh, kini Samsung menjadi pilihan orang ramai
di dunia.
Berwawasan (Visionary)
Berwawasan adalah salah satu
ciri-ciri penting untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Usahawan
merupakan orang yang banyak menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara,
membuka pelunag pekerjaan kepada orang ramai dan mengurangkan kadar pengangguran.
Berwawasan bagi seorang usahawan mestilah berlandaskan pelbagai keadaan seperti
keadaan ekonomi dunia, atas permintaan pengguna dan sebagainya. Rosli Mahmood
etc (2010) menyatakan bahawa usahawan akan sedaya upaya berusaha untuk mencapai
wawasan perniagaannya itu bagi membolehkan usahawan tersebut menjadikan
perniagaannya termasyhur di mata rakyat.
Selain itu, usahawan juga mempunyai
keyakinan diri yang tinggi di atas kebolehan mereka untuk mencapai kejayaan.
Hal ini demikan kerana membolehkan usahawan tersebut akan berkecenderung untuk membuatkan mereka lebih
bersikap optimistik terhadap kejayaan yang akan mereka kecapi dan sikap ini
berdasarkan kepada keadaan sebenar. Malahan dengan mempunyai keyakinan dan
optimistik yang tinggi, tidak hairanlah banyak usahawan yang pernah gagal
berkali-kali akhirnya menjadi seorang usahawan yang berjaya.
Seterusnya, setiap usahawan
mempunyai wawasan yang tersendiri mengikut perkhidmatan dan barangan yang
disediakan. Contoh tokoh usahawan yang berjaya yang memiliki ciri-ciri
berwawasan ialah Dato’ Aliff Syukri Kamarzaman yang merupakan seorang usahawan
kosmetik, D’Herbs Healthy Sdn. Bhd yang berjaya. Hal ini demikian kerana,
beliau yang dulunya bekerja sebagai penjual kosmetik di pasar malam dan bekerja
dengan orang lain. Pekerjaan tersebut baginya amat meletihkan dan beliau juga
membuka bengkel make up di pejabat. Berkat keazaman dan matlamat yang tinggi
untuk berjaya akhirnya beliau dapat membuka syarikat kosmetiknya sendiri.
Di samping itu, Dato’ Aliff Syukri
yang merupakan seorang usahawan yang berjaya dan berwawasan tinggi. Sebagai
contohnya, beliau bertekad untuk menjadikan produk D’Herbs Healthy Sdn. Bhd
terus laris di pasaran dan menjadi pilihan setiap orang. Malahan, bukan itu
sahaja yang beliau lakukan tp beliau juga turut mencipta slogan yang dipilih
olehnya yang juga mempunyai wawasan yang tinggi dan buktinya slogan “Terlajak
Laris” dengan secara tidak langsung dapat memberi motivasi kepada beliau untuk
terus mengeluarkan produk terbaru. Hal ini menyebabkan pengguna yang sentiasa
mahukan sesuatu produk yang baru. Dato’ Aliff Syukri bukan sahaja dapat
meyakinkan pengguna bahawa produk yang dikeluarkan ini memang terbaik malah
dapat memajukan lagi perusahaan syarikatnya.
Dato’ Aliff Syukri yang mempunyai
wawasan atau matlamat untuk dicapai dalam jangka masa panjang. Contohnya,
beliau meletakkan visi utama D’Herbs adalah untuk menjadikan syarikatnya
sebagai sebuah syarikat single level.
Syarikat single level ini akan mengeluarkan produk kecantikan dan kesihatan
dengan konsep terbuka yang lebih mudah dan ringkas. Malahan beliau juga akan
memastikan sistem pengurusan di syarikatnya akan bertambah baik dan juga yakin
terhadap keberkesanan produk yang dikeluarkan. Oleh itu, Dato’ Aliff Syukri
akan memastikan kualiti produknya mempunyai sitem terbaik serta menyediakan
harga yang berpatutan dan juga mampu dibeli oleh pengguna (Golden
Entrepreneurship, 2015).
Kesimpulannya,
usahawan perlu mempunyai wawasan yang jauh dan mewujudkan matlamat yang jelas
dan boleh diukur pencapaiannya. Usahawan juga perlu peka kepada kemampuan
sendiri dan mengenalpasti halangan dalaman dan luaran supaya halangan tersebut
dapat diatasi. Seorang usahawan yang berjaya akan mempunyai wawasan yang tinggi
dan akan mencapai kejayaanya itu seiring dengan tindakan yang akan dilakukan.
Hal ini demikian kerana dengan adanya wawasan, usahawan akan lebih bersemangat
untuk menjayakan atau meningkatkan lagi barang dan perkhidmatan yang
disediakan.
Kegagalan satu pilihan
(Failure is an option)
Kegagalan merupakan kejayaan yang
tertunda atau dalam erti kata lain kegagalan adalah permulaan kepada kejayaan.
Kegagalan amat berkait rapat dengan kejayaan. Ini bermaksud dalam perjalanan
menuju kejayaan, kita akan menempuh pelbagai kegagalan. Kesilapan dan kegagalan
merupakan salah satu faktor yang memainkan peranan yang penting dalam proses
pembelajaran bagi seorang usahawan. Kebanyakan usahawan yang berjaya pastinya
mempunyai sejarah kegagalan mereka yang tersendiri yang dijadikan sebagai
proses pembelajaran bagi membolehkan mereka untuk mencapai kejayaan yang mereka
kecapi. Menurut Mohd Hassan (2007), kegagalan perlu dijadikan sebagai
pengalaman atau peluang untuk terus berjaya.
Kegagalan dalam perniagaan merupakan
perkara biasa yang akan dihadapi oleh setiap usahawan. Gagal sekali tidak
bermakna akan terus gagal hingga ke penghujungnya. Ramai usahawan yang gagal
sekali tetapi terus bangun hingga berjaya sampai sekarang. Kegagalan adalah
suatu perkara yang baik bagi seorang usahawan. Kegagalan dari sudut positif
dapat dijadikan sebagai motivasi pembakar semangat untuk meneruskan perniagaan
tersebut. Motivasi juga merupakan satu resepi kepada seseorang usahawan untuk
menjalankan perniagaan. Seseorang usahawan tidak boleh mudah berputus asa dan
berfikiran negatif kerana usahawan harus mempunyai sikap terus berusaha untuk
mencapai kejayaan di masa hadapan. Usahawan perlu menjalankan perniagaan mereka
secara berperingkat dan berpandangan jauh jika ingin berjaya kerana tiada jalan
pintas untuk peroleh kejayaan dan kekayaan.
Seorang usahawan berjaya yang mempunyai
ciri seperti ini adalah Tan Sri Mokhzani Bin Tun Mahatir. Beliau tidak akan
dapat lari daripada menghadapi risiko kegagalan dalam perniagaan. Bagi seorang
usahawan yang bermotivasi dan berfikiran terbuka, beliau akan menganggap
kegagalan yang dihadapi dalam perniagaan adalah sebagai satu cabaran untuk
terus berjaya dan maju dalam perniagaan yang telah diceburi. Kegagalan ini
dikatakan sebagai satu risiko yang akan dihadapi oleh beliau untuk berjaya
seperti hari ini. Sebagai contoh, Tan Sri Mokhzani sendiri pernah melalui
masa-masa sukar dan jatuh bangun semasa beliau menjalankan perniagaan beliau.
Tan Sri Mokhzani selaku Pengawai
Eksekutif Kencana Petroleum Berhad, pernah mengalami situasi yang memerlukan
beliau bertindak bijak dalam mengatasinya. Beliau pernah mengalami naik turun
dalam dunia korporat sebelum menyertai Kencana Petroleum pada tahun 2001. Beliau
gagal dalam mengekalkan pegangan 12.6 peratus saham dalam Tongkah Holdings dan
32.9 peratus dalam Pantai Holdings semasa berlakunya krisis kewangan pada tahun
1997. Namun, ianya tidak pernah melenyapkan beliau dalam arus dunia korporat
tempatan. Dalam keadaan krisis kewangan yang semakin meruncing itu, beliau
membuat keputusan untuk meletak jawatannya sebagai Penolong Bendahari Pemuda
UMNO Malaysia dengan alasan untuk menumpukan perhatian terhadap perniagaannya
yang terjejas akibat krisis kewangan tersebut.
Namun selepas krisis dan keadaan ini
berlaku, beliau kemudian bernasib baik kerana telah menemui Chong Hin Loon,
pengasas Kencana Petroleum dan sekarang ini merupakan penasihat dan juga
Timbalan Pengerusi Eksekutif Kencana Petroleum. Pada ketika itu, Chong Hin Loon
sedang berusaha mencari rakan kongsi dalam kalangan bumiputera. Pertemuan Chong
Hin Loon dengan Tan Sri Mokhzani yang sememangnya arif dalam hal ehwal
kejuruteraan pertroleum benar-benar membawa tuah kepada Kencana Petroleum.
Sejak Tan Sri Mokhzani menyertai Kencana Petroleum pada tahun 2001, syarikat
tersebut semakin berkembang dan memenuhi aspirasi penubuhannya.
Berfikiran Terbuka (Open
Culture)
Usahawan yang berjaya haruslah
memiliki ciri berfikiran terbuka dalam menguruskan sesebuah perniagaan.
Berfikiran terbuka merupakan suatu konsep di mana setiap pengetahuan seharusnya
dikongsi atau disebarkan secara bebas dan perkembangannya adalah hasil daripada
proses pembangunan, pengubahsuaian dan pengkayaan terhadap usaha sedia ada
berasaskan perkongsian dan kerjasama tanpa terikat dengan undang-undang berkait
rapat dengan hak perlindungan intelektual (Centre International D’art
Contemporain De Montreal, 2015). Keterbukaan merupakan salah satu corak
komunikasi kepimpinan yang penting. Dalam konteks organisasi, pemimpin iaitu
usahawan yang mempunyai sikap terbuka dapat memperlihatkan kesanggupan untuk
menerima teguran yang membina, mudah diajak berbincang dalam segala masalah,
bersedia berkongsi maklumat berkaitan tugas serta bersedia untuk mendengar dan
menerima pendapat daripada mana-mana individu (Nor Hartini Saari).
Seseorang usahawan bukan sahaja harus
bersedia mendengar pandangan atau idea daripada individu yang berjawatan
tinggi, malah pandangan pekerja bawahan atau pekerja lebih muda juga harus
diambil kira dalam membuat sesuatu keputusan. Sikap keterbukaan seseorang
usahawan amat perlu dalam organisasi kerana usahawan dan pekerja dapat
berkongsi maklumat kerja melalui sebarang bentuk perbincangan. Setiap usahawan
pada masa kini perlulah berfikiran terbuka dalam menerima sesuatu perubahan
disamping dapat mengelak daripada terpengaruh dengan anasir-anasir yang tidak
sihat serta mampu menjadi seseorang yang berkemampuan melihat dan merebut
peluang yang ada dihadapan mata untuk kejayaan sesebuah organisasi (Rosli
Mahmood et al., 2015). Usahawan yang berjaya akan berpandangan jauh dan
menetapkan segala matlamat untuk perniagaan mereka. Mereka juga akan berusaha
bagi membolehkan beliau menjadikan perniagaannya termasyhur di mata rakyat.
Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, berpandangan jauh bermaksud kebolehan
menjangka (keperluan, masalah, perkembangan) yang akan datang atau timbul.
Dengan memiliki kebolehan tersebut, seseorang individu dapat membuat rancangan
yang rapi untuk jangka waktu yang panjang (Group10entrepreneur, 2015).
Contohnya seperti Tan Sri Dato’ Loh
Boon Siew iaitu Pengasas Boon Siew Honda. Beliau bersama pengasas Honda Soichiro
Honda Datuk Loh Boon Siew berasal dari kampung Hui, daerah Fukian, sebuah
wilayah yang dianggap paling miskin di China pada satu ketika dahulu. Kehidupan
keluarga Datuk Loh sangat miskin menyebabkan beliau tidak pernah berpeluang ke
sekolah. Sejak kecil lagi beliau bekerja mencari duit untuk tambahan pendapatan
keluarganya. Pelbagai pekerjaan pernah beliau lakukan. Ketika berumur 18 tahun,
beliau tertarik untuk berniaga sendiri dan sering memikirkan cara bagaimana
untuk mendapat peluang berbuat demikian. Pelbagai usaha beliau lakukan untuk
mencapai minat tersebut. Selepas perang dunia kedua tamat, Datuk Loh telah
mempunyai perniagaannya sendiri dengan membuka kedai kereta terpakai dan
menjadi ejen pengedar beberapa jenis motosikal keluaran British.
Pada tahun 1958, beliau telah melawat
Jepun untuk makan angin dan ternampak sebuah motorsikal Honda yang belum pernah
digunakan di Malaysia dan berfikir mungkin akan mendapat pasaran yang baik jika
dibawa ke Malaysia. Tan Sri Dato Loh Boon Siew telah membuat keputusan untuk
membuat perjanjian dengan memesan 12 unit motosikal. Motosikal ini kemudian
dijual kepada kawan rapatnya tanpa mengambil apa-apa untung. Motosikal Honda
yang dibawanya ditertawakan oleh orang ramai yang menganggap ia tidak berguna
dan cepat rosak, namun ia tidak mematahkan hasratnya untuk memperkenalkan
motosikal sehingga menjelang tahun 1963, motosikal Honda menjadi kenderaan yang
paling diminati.
Beliau adalah orang yang berjaya
menempatkan kereta jenis Honda sebagai kenderaan ketiga terbesar dijual di
negara ini sejak beberapa tahun lalu. Kejayaan ini membuktikan bahawa beliau
sangat berfikiran terbuka dan kini beliau mempunyai alasan untuk berbangga
dengan kejayaannya di dalam alam perniagaan dan tokoh korporat, sekali gus
meletakkan beliau sebagai seorang yang terkaya di Pulau Pinang dan antara 10
tokoh usahawan terkemuka di Malaysia.
Berorientasikan hasil (Outcome
oriented)
Berorientasikan hasil adalah satu
hasil bagi menggambarkan seorang atau sebuah syarikat yang mementingkan hasil
daripada proses. Apa yang dimaksudkan di sini ialah semasa menjalankan sesuatu,
kita hanya menumpukan perhatian terhadap matlamat dan mementingkan capaian
serta sanggup membuat apa cara sekalipun untuk mencapai matlamat yang
ditetapkan walaupun cara yang dijalankan kemungkinan susah. Sebagai seorang
usahawan, memperoleh hasil yang lumayan mestilah merupakan motif yang hendak
dicapai. Hasil yang diperolehi boleh dijadikan sebagai satu sumber untuk
mendorong seseorang usahawan lebih bersemangat dan berusaha bersungguh-sungguh
untuk mencapai matlamatnya.
Ciri keusahawanan ini boleh dilihat pada Sharifah Nabilla Al-Yahya Syed
Shah atau lebih dikenali sebagai Belle yang merupakan pengasas jenama busana
Muslimah Bella Ammara. Kekaguman bukan sahaja pada perwatakannya, tetapi
keupayaannya membangunkan jenama Bella Ammara sehingga ia menjadi sebutan
penggemar fesyen di Malaysia. Hanya beroperasi selama tiga tahun, pada usia 27
tahun dia sudah memiliki empayar perniagaannya sendiri dengan tujuh cawangan
butik di seluruh Malaysia. Satu pencapaian yang sangat membanggakan dan cukup
memberikan inspirasi kepada sesiapa sahaja yang baru memulakan perniagaan.
Ciri keusahawanan berorientasikan
hasil dapat dilihat apabila Belle asalnya yang bekerja sebagai arkitek
meninggalkan kerjayanya demi mengusahakan perniagaan pakaian Muslimah. Malah
dia juga menunjukkan kebolehannya menghasilkan reka bentuk keseluruhan butik di
Shah Alam dan Bangi Sentral bertemakan gaya Inggeris dan klasik Perancis.
Mengakui suami menjadi tulang belakang utama sehingga hari ini, apabila suami
sangat komited untuk melihat perniagaan yang diusahakan bersama-sama berkembang
maju.
Semuanya bermula pada tahun 2012 sebaik sahaja menamatkan pengajian
dalam bidang seni bina. Disebabkan ingin melangsungkan perkahwinan, dia bersama
bakal suaminya ketika itu, Muhammad Khalif Samsudin atau dikenali sebagai Carl
Samsudin mula mencari wang tambahan bagi membiayai perkahwinan mereka. Demi
memulakan perniagaan, Carl meminjam duit ibunya sebanyak RM1,000 untuk membeli
sembilan pasang telekung berwarna. Dengan langsung tiada pengalaman berniaga,
sembilan pasang telekung dijual menerusi pemasaran di Facebook. Telekung yang
dijual sangat mendapat sambutan sehingga terpaksa mengambil jumlah yang banyak
bagi memenuhi permintaan ramai. Dan sekarang Bella Ammara mempunyai pelbagai
jenis rekaan busana Muslimah yang amat mendapat sambutan daripada wanita di
Malaysia.
Berorientasikan
Pasukan (Team Oriented)
Berorientasikan
pasukan (team oriented) merupakan setiap individu digabungkan menjadi sebuah
kumpulan untuk membincangkan dan melaksanakan sebuah matlamat yang sama.
Menggabungkan fikiran dan kreatif setiap ahli kumpulan memberi kesan yang baik.
Pasukan yang terdiri daripada gabungan sebilangan individu yang mempunyai
kepakaran, kemahiran, potensi, pengetahuan dan komitmen yang berlainan kepada
pasukan yang rela bekerja bersama-sama. Kerjasama dalam kumpulan dapat
mengumpulkan idea yang dapat menghasilkan satu projek yang lebih sempurna dan
dapat mengurangkan kesalahan. Dalam kumpulan, semua ahli usahawan adalah sama
rata, semua ahli dapat mengemukakan dan berkongsi pengalaman mereka tersebut
dalam mengurangkan kesalahan. Selain itu, bekerja dalam kumpulan dapat belajar
cara mendengar dan memahami cadangan usahawan lain dan sikap bertanggungjawab
yang perlu diamalkan. Apabila semua ahli mempunyai pandangan dan pendapat yang
berbeza, banyak perbincangan akan dilakukan untuk menetapkan keputusan akhir
atas pertimbangan antara semua usahawan.
Usahawan yang menunjukkan ciri ini ialah Tan Sri Anthony Francis iaitu
seorang tokoh usahawan yang berketurunan India yang lebih dikenali sebagai Tony
Fernandes. Tony Fernandes merupakan pengasas syarikat Tune Air Sdn. Bhd. iaitu
syarikat yang menawarkan perkhidmatan penerbangan tambang murah kepada penduduk
Malaysia. Tony Fernandes mempunyai gaya pengurusannya yang tersendiri iaitu
beliau percaya bahawa seorang pengasas syarikat tidak sepatutnya hanya berada
di dalam pejabat dengan melihat laporan kewangan sahaja. Tony Fernandes
sentiasa melawat pekerja bawahannya di samping membuat pemantauan terhadap
pekerjanya. Ciri kerja berpasukan beliau dapat dilihat melalui kemampuannnya
dalam menguruskan keberkesanan tahap pengurusan organisasinya yang mampu
bersaing sehingga ke peringkat global.
Di
samping itu, Tony Fernandes juga ada mengatakan bahawa pekerja perlu diutamakan
sebelum pelanggan. Hal ini kerana pekerja merupakan aset yang paling penting
dalam syarikatnya. Beliau juga bukan sahaja memberikan latihan yang sewajarnya
kepada para pekerjanya tetapi turut menubuhkan sebuah Unit Budaya Korporat yang
bertanggungjawab dalam menerapkan nilai dan amalan syarikat kepada semua
pekerjanya. Beliau percaya bahawa dengan bekerja dalam suasana yang gembira,
pekerjanya akan menjaga pelanggan yang menggunakan perkhidmatan mereka. Tidak
hairanlah, syarikat penerbangan murah ini disegani oleh syarikat penerbangan
antarabangsa yang lain. Jelaslah bahawa kerja berpasukan melalui pengurusan
yang berkualiti dengan kerjasama daripada semua pihak sama ada pihak atasan
atau bawahan menjamin kejayaan sesebuah perniagaan.
Proaktif (Proactive)
Ciri setiap usahawan yang ditonjolkan
dalam berniagaan mestilah mempunyai sikap yang proaktif. Seorang usahawan yang
bersifat proaktif ialah seorang usahawan yang berinisiatif tinggi dan
bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang dibuat di dalam perniagaanya.
Bersikap proaktif membolehkan setiap usahawan berani untuk membuatkan
keputusan. Usahawan yang proaktif juga akan bertindak dengan lebih agresif
dalam segala tingkah laku dan tindakan dalam dunia perniagaan. Malahan usahawan
memliliki matlamat, wawasan dan sentiasa mahu untuk terus maju kehadapan.
Selain itu, usahawan yang bersikap
proaktif akan turut melibatkan dalam pencarian peluang baru yang di luar bidang
operasi perniagaannya. Usahawan lebih mahir dan kreatif menghasilkan produk dan
perkhidmatan dalam dunia perniagaan. Melalui sikap proaktif juga, usahawan
percaya bahawa dapat mengawal apa-apa yang berlaku disekelilingnya serta mereka
tidak mudah untuk menyalahkan orang lain atau keadaan apabila berlaku sesuatu
dalam perniagaan tersebut.
Usahawan
yang mempunya ciri bersikap proaktif juga bijak dalam merangka strategi
perniagaan supaya sebarang kesilapan dalam operasi perniagaan dapat
diperbetulkan dengan secepat yang mungkin. Hal ini demikan kerana, setiap
kesilapan yang berlaku ini akan mengambil masa yang agak lama dan
berkemungkinan akan menjejaskan keuntungan perniagaan mereka. Bersikap proaktif
juga akan menyebabkan seseorang usahawan bertindak untuk membentuk sesuatu
persekitaran yang baru. Malahan tindakan ini boleh menyebabkan firma yang
berkeusahawanan itu menjadi pemimpin di dalam pasaran dengan mempengaruhi
kaedah persaingan dan turut membina permintaan yang baru.
Datuk Jimmy Choo mempunyai ciri
usahawan yang berjaya iaitu proaktif. Datuk Jimmy Choo sinonim dengan kasut
yang eksklusif dan bergaya. Beliau bukan sahaja seorang pereka kasut malah
seorang tukang membuat kasut yang mahir dan pakar dalam menghasilkan hasil
seninya. Datuk Jimmy Choo sangat teliti dalam membentuk acuan kasut yang terdiri
daripada bahagian atas, tapak dan tumit bagi memastikan kasut rekannya itu seimbang supaya pemakai kasutnya berasa
selesa dan selamat walaupun mengenakan kasut bertumit tinggi bagi golongan
wanita (Usahawan, 2016).
Datuk Jimmy Choo mampu menyerap
dengan baik akan perubahan zaman yang kini memerlukan fesyen yang terkini.
Sebagai bukti, beliau mendapat pendedahan awal mengenai teknik pembuatan kasut
daripada ayahnya iaitu seorang tukang kasut sepenuh masa. Datuk Jimmy Choo
berubah nasib apabila mendiang Puteri Diana berkenan dengan rekaan beliau.
Puteri Diana terus jatuh cinta dengan rekaan beliau dan menyebabkan nama Jimmy
Choo terus melonjak di pasaran antarabangsa. Kini, jenama Jimmy Choo dikaitkan
dengan gaya, kemewahan dan ketulenan serta menjadi kegilaan artis dan selebriti
di serata dunia.
Minat Datuk Jimmy Choo terhadap kasut dan semangat yang kuat telah
memotivasikan beliau mengharungi pelbagai rintangan dalam mengejar cita-citanya
menyebabkan jenama Jimmy Choo terus gah sehingga sekarang. Setiap cabaran
merupakan sebuah langkah permulaan kepada kejayaanya. Permulaan yang penuh
dengan liku onak dan duri meletakkan usahawan ini antara yang paling berjaya
dalam bidang pembuatan kasut. Hal ini secara tidak langsung meletakkan beliau
antara golongan jutawan yang terkaya di Malaysia malah di dunia (Kuenchi Yuen,
2015).
Kesimpulannya, bersikap proaktif akan membolehkan seseorang usahawan itu
terus berjaya dalam perniagaannya. Malahan usahawan tersebut dapat mencapai
matlamat yang telah ditetapkan dalam perniagaan tersebut. Bersikap proaktif
juga menyebabkan seseorang usahawan dapat mencari pelbagai peluang dalam
mengembangkan perniagaan dan dapat memberikan kesan yang baik terhadap
perniagaannya pada masa hadapan.
B) TOKOH USAHAWAN YANG BERJAYA
Tokoh usahawan yang telah berjaya
mencipta nama di persada dunia adalah Dato’ Haji Ameer Ali Mydin. Dato’ Ameer Ali yang merupakan Pengarah Urusan Mydin
Mohamed Holding Berhad dan juga merupakan anak kepada pengasas pasaraya Mydin
iaitu Tuan Mydin Mohamed Bin Ghulam yang mengasaskan Mydin sejak tahun 1957.
Daripada sebuah kedai kecil di Kota Bharu, Kelantan, kini Mydin telah
berkembang dengan pesat menjadi hypermarket ke seluruh negara. Terdapat lebih
90 kedai termasuk lapan buah pasaraya besar dan Mydin Wholesale Emporium di
beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia sehingga ke hari ini. Beliau
yang berkelulusan Masters in International Business daripada Sanoma State
University, California mula menyertai perniagaan bapanya pada tahun 1987,
setelah beberapa tahun berkhidmat dengan Arab Malaysian Merchant Bank. Beliau
dilahirkan pada 4 Jun 1956 di Kota Bharu, Kelantan. Berbekalkan sokongan padu
dan berterusan daripada keluarga tercinta, beliau telah membawa Mydin satu
langkah lagi ke hadapan. Mydin yang kini beroperasi lebih daripada 95 cawangan
di seluruh Semenanjung Malaysia mempunyai rantaian perniagaan yang pelbagai
seperti emporium, pasaraya besar, kedai serbaneka, pasar mini dan bazar, dan
perolehan MYDIN kini melebihi RM1.6 bilion setahun.
Dato’ Haji Ameer Ali telah menumpukan
tenaga dan kepakaran untuk kesejahteraan ekonomi Malaysia. Beliau membuat
sumbangan besar kepada pembangunan industri runcit Malaysia bukan sahaja dengan
aktif menyokong dan mempromosikan produk tempatan dan IKS/PKS tetapi juga
menjalankan perniagaan cara yang sihat dengan mengamalkan produk dan perkhidmatan
Halal. Sebagai pengiktirafan sumbangan Dato’ Haji Ameer Ali kepada aspirasi
Industri Peruncitan Malaysia dan usahawan bumiputera, beliau telah dikurniakan
dengan beberapa anugerah seperti dianugerahkan Dato’ (DIMP) oleh Sultan Pahang
pada tahun 1999, pemenang Anugerah Usahawan Tahun oleh Ernst & Young di
bawah kategori Master Entrepreneur 2007, dan Anugerah Keusahawanan Asia Pacific
Entrepreneurship Award (APEA) for Malaysia Region di bawah kategoti Usahawan
Cemerlang 2007.
Di bawah kepimpinan Dato’ Haji Ameer
Ali Mydin, beliau telah menjadikan Kumpulan Mydin sebagai salah sebuah pasaraya
yang terlibat dalam program TUKAR (Transformasi Kedai Runcit). Di bawah program
ini, Mydin berperanan sebagai konsultan dan pembantu dalam melaksanakan program
ini. Program inisiatif daripada Kementerian Perdagangan dalam Negeri ini
bertujuan untuk memodenkan kedai runcit tradisi. Proses transformasi ini
merangkumi pengaturan semula barang niaga, pelaksanaan ‘point of sales system’
yang lebih baik efisien, dan peningkatan rupa bentuk luar dan dalam kedai.
Kedai runcit yang terlibat dalam program ini akan diberikan pinjaman oleh Bank
Rakyat sebanyak RM20000 hingga RM60000. Berikutan kejayaan program TUKAR ini
juga, dan di atas tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat, Kumpulan Mydin
telah diberi kepercayaan oleh Kerajaan Malaysia untuk menjadi operator bagi
projek Kedai Rakyat 1 Malaysia (KRIM). Sebagai operator, Mydin
dipertanggungjawabkan untuk membantu dalam memasang peralatan kedai dan
pengurusan bekalan, IT Support, memberikan kemahiran teknik dan jualan serta
latihan kepada para peniaga baru.
Kejayaan yang dikecapi Kumpulan Mydin
hari ini sebenarnya bertitik-tolak daripada ciri-ciri kepimpinan yang diamalkan
oleh pihak atasan Mydin dan juga oleh Dato’ Haji Ameer Ali itu sendiri.
Daya
Usaha
Semenjak
dari keil lagi Dato’ Ameer Ali telah mengikut bapanya berniaga di kedai. Beliau
juga turut diajar untuk menjadi lebih berdisiplin serta berjimat cermat oleh
bapanya sejak dari kecil. Malahan ternyata sikap tersebut menjadi prinsip
penting dalam kehidupan dan perniagaan beliau sehingga ke hari ini. Dato’ Ameer
Ali juga sangat mengambil berat tentang para pekerjanya dan dapat membuatkan
pekerjanya berasa senang untuk bekerja bersamanya. Beliau juga akan berkongsi
keuntungan bersama para pekerja dengan memberikan bonus kepada pekerja yang
telah melakukan pekerjaan dengan baik.
Selain
itu, pelbagai rangkaian produk ditawarkan untuk memenuhi keperluan yang berbeza
merupakan kunci kejayaan Mydin yang mengetahui selera pelanggannya. Dato’ Ameer
Ali sangat mahir menggerakkan kecekapan dan keupayaan dalam pemasarannya yang
ditunjukkan melalui pengalaman beliau. Mydin juga tahu pelanggannya dengan baik
dan memberikan tumpuan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana,
malahan penyesuaian dan fleksibiliti dalam barangan yang ditawarkan ini telah
wujud di Mydin. Oleh itu, bagi memenuhi keperluan segmen pasaran yang
berbeza, Dato’ Ameer Ali tampil dengan portfolio format perniagaan yang berbeza
seperti pasaraya besar, emporium, kedai runcit dan pasar mini telah yang
terbukti sangat berjaya. Setiap perniagaan mempunyai format khusus dan memberi
tumpuan kepada memenuhi segmen pelanggan yang tersendiri di seluruh Malaysia.
Kecekapan Masa
Kecekapan masa merupakan
ciri-ciri yang sangat penting dalam memajukan sesuatu perniagaan. Dato’ Ameer
Ali merupakan seorang yang sangat mementingkan kecekapan masa. Ciri-ciri ini
adalah salah satu cirri yang ada pada dirinya yang boleh membawa beliau
sehingga berjaya. Dato’ Ameer Ali telah mengambil alih perniagaan keluarganya
yang telah ditubuhkan oleh ayahnya, Mydin Mohamed Bin Ghulam Hussein iaitu
Mydin Mohamed Holding Berhad. Beliau juga sentiasa mengisi masanya dengan
aktiviti-aktiviti yang berfaedah supaya tiada berlakunya pembaziran masa.
Sebagai contoh Dato’ Ameer Ali akan menolong ayanhnya di kedai selepas beliau
pulang dari sekolah. Malahan kecekapan masa ini juga menjadi prinsip utama bagi
pekerja-pekerja Dato’ Ameer Ali, contohnya “Jika anda tiba tepat pada waktunya,
anda adalah lewat”.
Mydin berkembang dengan lebih pesat di Semenanjung
Malaysia sehingga kini dan telah mempunyai lebih daripada 90 buah kedai
termasuklah pasaraya dan emporium setelah Dato’ Ameer Ali menyertai perniagaan
ayahnya. Dato Ameer Ali juga telah melancarkan program Transformasi Kedai
Runcit di mana program ini akan memodenkan kedai runcit tradisi. Beliau
merupakan seorang yang berjimat cermat dan mengamalkan amalan kesederhanaan.
Dato’ Ameer Ali turut sentiasa memberikan motivasi kepada pihak lain yang ingin
berjaya dalam kehidupan kerana beliau tidaklah terus bekerja dengan perniagaan
keluarganya tetapi beliau telah bekerja dan mengambil pengalaman dahulu di Arab
Malaysian Merchant Bank. Hal ini di mana Dato’ Ameer Ali bermula daripada bawah
untuk berjaya tanpa mengharapkan pertolongan daripada orang lain.
Mempunyai Pandangan Jauh
Mempunyai pandangan yang jauh
dan pemikiran yang bersikap kreatif merupakan antara ciri yang membolehkan
Dato’ Ameer Ali berjaya sebagai seorang usahawan dalam mengembangkan Mydin
Mohamed Holding Berhad. Mydin telah mengembangkan perniagaan secara
berperingkat-peringkat dan hal ini adalah kerana skop pemikiran yang luas ke
hadapan yang membolehkan rancangan strategi perniagaan yang berkesan. Maka
tidak hairanlah jika Mydin Mohamed Holding Berhad mampu meraih jualan sebanyak
RM2.2 bilion bagi tahun 2012.
Hasil pandangan yang jauh ini juga telah menimbulkan idea
untuk menvariasikan rangkaian produknya. Semasa perniagaan ayahnya hanya
menjual barangan keperluan harian dan alatan mainan di kedai kecilnya dan
ayahnya telah merancang strategi untuk mempelbagaikan jenis produk jualannya
apabila berkembang kelak. Contoh rangkaian produk ialah peralatan elektrik,
pinggan mangkuk, alat tulis, aksesori, pakaian dan lain-lain. Dato’ Ameer Ali
berusaha untuk mencari dana bagi penubuhan cawangan Mydin di Subang Jaya amat
sukar apabila kesemua bank menolak permohonan pinjamannya. Hal ini demikian
kerana projek ini dianggap amat berisiko kerana lokasi penubuhannya yang
terletak hanya bersebelahan dengan pasaraya Giant yang turut menjadi pilihan
pengguna.
Pemikiran Dato’ Ameer Ali yang yakin
dengan perniagaannya dan ganjaran yang akan diterima pada masa akan datang
kerana risiko yang diambilnya dan beliau terus berazam untuk mendapatkan dana.
Akhirnya permohonan pinjamannya diluluskan oleh Arab Malaysian Bank Berhad.
Hasilnya, terbukti bahawa jangkaan Dato’ Ameer Ali tepat. Cawangan Mydin di
Subang Jaya hanya dalam tempoh setahun terpaksa meluaskan kawasan tempat letak
kereta kerana sambutan yang amat menggalakkan dari pelanggan.
Bijak mencari peluang dan mengaplikasikannya dalam
organisasi
Dato’ Ameer Ali galak berusaha agar
dikenali sebagai rangkaian pasaraya terhebat dengan mengadakan promosi-promosi
serta iklan yang dapat menarik pelanggan untuk terus mengunjungi pasaraya
Mydin. Beliau melihat dari pelbagai sudut terutamanya pemasaran bagi memajukan
perniagaannya. Beliau melihat dari sudut umur, teknologi masa kini serta
kekangan-kekangan yang dihadapi oleh masyarakat contohnya kejatuhan mata wang
dan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dengan mengurangkan harga. Dengan
terus-menerus mengadakan iklan melalui media massa mahupun lampiran, masyarakat
kini tertarik untuk mengunjungi ke Mydin dengan tersematnya di minda harga
barangan yang murah dan berpatutan.
Mengalakkan komunikasi terbuka
Dato’ Ammer Ali mengamalkan
komunikasi dua hala dan terbuka kepada semua kakitangannya. Beliau mengambil
masa untuk mendengar pandangan kakitangan beliau terutama sekali berhubung
dengan harga barangan, ini kerana mereka yang menerima respon dari pelanggan
tentang perkara tersebut. Kemahiran berkomunikasi yang baik dengan
pelawat-pelawat, pembekal dan pelanggan yang mempunyai pelbagai latar belakang
dapat meningkatkan kerjasama yang kukuh antara syarikat. Manakala komunikasi
dalaman antara jabatan adalah manifestasi daripada strategi pemasaran yang
berkesan dalam kalangan pekerja Mydin daripada unit yang berbeza. Oleh itu,
dengan sokongan daripada pekerjanya, falsafah ini berjaya menjadi budaya
organisasi setiap hari bekerja. Ciri yang ada dalam diri beliau ini membuatkan
ramai orang senang bekerja dengan beliau dan disukai oleh masyarakat.
KESIMPULAN
Kesimpulannya,
seseorang yang menceburi diri dalam bidang keusahawanan ini telah berjaya untuk
mendidik diri mereka supaya sentiasa berusaha untuk lebih maju ke hadapan.
Malahan, usahawan juga telah menerapkan nilai integriti yang tinggi dalam diri
usahawan tersebut. Usahawan yang ingin berjaya perlulah memenuhi dan mendalami
ciri-ciri usahawan yang telah dinyatakan dan juga boleh mencontohi tokoh-tokoh
usahawan yang berjaya seperti yang dibincangkan untuk dijadikan motivasi agar
dapat berjaya seperti mereka pada suatu masa akan datang. Hal ini demikian
kerana dengan adanya ciri-ciri tersebut membolehkan usahawan itu dapat mencapai
matlamat yang telah ditetapkan dalam perniagaan tersebut.
Selain itu, usahawan yang mengalami
kegagalan ketika memulakan perniagaan merupakan langkah baru adalah perkara
biasa bagi mereka kerana kegagalan yang dihadapi bukanlah kegagalan untuk
selama-lamanya tetapi ia merupakan satu kegagalan yang akan membawa mereka ke
arah yang lebih baik dan lebih berjaya berbanding dengan orang lain. Usahawan
ini juga bukanlah mengusahakan sesuatu perniagaan untuk mendapatkan keuntungan
semata-mata tetapi telah memberikan sumbangan yang besar kepada negara dalam
menjana ekonomi serta mengukuhkan industri negara ini.
Usahawan yang melibatkan diri dalam
bidang perniagaan ini dapat menjadikan seseorang itu lebih kreatif untuk
berfikir dalam menghasilkan sesuatu produk atau perkhidmatan yang ingin
dikeluarkan dalam perniagaan tersebut. Usahawan yang mempunyai semangat yang
tinggi juga akan wujud dalam diri usahawan yang berjaya walaupun mereka
mengetahui akan risiko yang bakal dihadapi dalam perniagaan itu. Oleh itu,
setiap individu yang ingin menjalankan aktiviti perniagaan seharusnya jadikan
bidang keusahawanan ini sebagai suatu bidang kerjaya dalam diri setiap bakal
usahawan dan juga dapat memberikan faedah kepada pihak lain.
PERKHIDMATAN PEMBIAYAAN LE-MERIDIAN. syarikat pinjaman yang memberi saya pinjaman sebanyak 5,000,000.00 USD Apabila pelabur-pelabur lain yang lain telah mengabaikan tawaran saya tetapi Le_Meridian Funding Service memberi saya pinjaman yang memuaskan. langsung ke pembiayaan pinjaman dan projek dari segi pelaburan. mereka menyediakan penyelesaian pembiayaan kepada syarikat dan individu yang mencari akses kepada dana pasaran modal, mereka dapat membantu anda membiayai projek anda atau mengembangkan perniagaan anda. Hubungi E-mel :::: lfdsloans@lemeridianfds.com Juga lfdsloans@outlook.com atau Tulis pada Whatsapp Nombor pada 1- (989-394-3740) Berpikir Baik,
ReplyDeleteinterest berapa?
Delete