Sunday, 1 May 2016

Ciri-ciri Keusahawanan

PENGENALAN

          Perkataan usahawan mula diperkenalkan dalam tahun 1970 iaitu semasa pelancaran Dasar Ekonomi Baru. Ianya bukanlah satu perkara yang baru kepada masyarakat. Pada zaman Melayu Melaka, mereka melibatkan diri dalam bidang perniagaan dipanggil sebagai pedagang manakala pada tahun 1990-an mereka dikenali sebagai peniaga. Perkataaan usahawan mempunyai erti yang sama dengan perkataan Inggeris iaitu ‘entrepreneur’ yang berasal daripada bahasa Perancis, ‘entreprender’ yang bermaksud memikul tugas atau mencuba. Usahawan merupakan individu atau seseorang yang mengusahakan sesuatu perniagaan dan mengambil risiko perniagaan yang diceburinya sehingga berjaya dengan motif memperoleh keuntungan di samping mengamalkan amalan-amalan yang strategik untuk terus berjaya.

          Usahawan juga merupakan penggerak dan pemangkin ekonomi sesebuah negara. Sesebuah negara tidak akan mencapai taraf sebagai negara maju sekiranya tidak mempunyai usahawan yang berjaya serta berdaya saing yang tinggi. Hal ini kerana usahawanlah yang menjadi tulang belakang dan nadi penggerak ekonomi sesebuah negara. Secara tidak langsung usahawan juga dapat menaikkan nama sesebuah negara di persada bisnes dunia apabila usahawan membawa nama negara semasa mempromosikan barangan mereka di luar negara. Usahawan bukan hanya mengejar keuntungan semata-mata, namun, mereka turut menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat seperti memberi derma kepada pihak yang kurang berkemampuan. Kebanyakan usahawan yang telah berjaya sekarang, pernah mengalami kegagalan suatu masa dahulu, namun mereka tidak mudah menyerah kalah dan bangkit kembali untuk mencapai kejayaan.

          Untuk menjadi seorang usahawan berjaya bukanlah perkara mudah kerana banyak halangan yang harus ditempuhi, namun ia bukanlah perkara mustahil untuk dicapai kerana dimana ada kemahuan disitu pasti ada jalannya. Oleh yang demikian, untuk menjadi usahawan yang berjaya dan cemerlang seseorang individu tersebut perlulah mempunyai ciri-ciri keusahawanan yang tinggi dalam diri mereka sendiri agar perniagaannya dapat bergerak maju seiring dengan kemajuan dunia seperti mempunyai rangkaian usahawan, mengambil risiko terbuka, menjadi pemerhati untuk masa yang akan datang, mempunyai visi yang jelas, harus terima kekalahan yang mungkin dihadapinya kelak, berfikiran terbuka, mempunyai objektif yang diorientasikan, kerja berpasukan dan mestilah seorang yang proaktif.      


          A)   CIRI-CIRI KEUSAHAWANAN

Rangkaian Usahawan (Networked)


          Rangkaian adalah salah satu ciri yang perlu ada dalam perniagaan dan ia juga memainkan peranan penting untuk kejayaan seseorang usahawan. Sekiranya usahawan mempunyai rangkaian yang baik, cekap dan efektif untuk pengguna luaran dan dalaman ianya akan menjadi satu kelebihan terhadap peluang perniagaan dan menyelesaikan masalah mengenai perniagaan mereka. Selain itu, hubungan rangkaian yang baik juga membolehkan para usahawan mendapatkan sokongan dan kerjasama dari lingkaran rangkaian. Oleh itu, setiap usahawan yang di luar sana yang ingin berjaya perlu membina serta membentuk kemahiran rangkaian, kerana ia akan menjadi pemangkin kepada pencapaian sasaran dan objektif perniagaan.

          Ciri yang besar bagi usahawan yang berjaya ialah mereka sentiasa mempunyai rangkaian yang luas antara satu sama lain. Ramai sasterawan semasa bekerjasama dengan usahawan menyokong hujah bahawa rangkaian merupakan faktor yang paling penting dalam menjayakan usaha keusahawanan baru. Rangkaian adalah taktik pemasaran tunggal yang paling berkuasa untuk mempercepatkan dan mengekalkan kejayaan mana-mana individu atau organisasi. Rangkaian merupakan perhubungan yang dibina untuk berkekalan dan saling menguntungkan antara usahawan dan mereka yang terlibat. Rangkaian atau jaringan juga bermaksud, jaringan perniagaan (Larson, 1992: Baker, 1994: Holmlund & Tornroos, 1997) atau dikenali juga sebagai jaringan formal (Dollinger, 1995) atau ‘extended network’ (Aldrich, et al, 1989) merupakan hubungan yang pada amnya berasaskan aktiviti yang berkaitan dengan perniagaan. Rangkaian perniagaan merupakan hubungan yang wujud di antara beberapa individu di dalam sesebuah perniagaan termasuklah peniaga, pembekal atau pemborong, pelanggan, pihak bank, akauntan, kerajaan, persatuan perniagaan, badan-badan professional dan seumpamanya. 

          Jaringan perniagaan ini sebagai satu proses saling bergantungan antara dua individu yang mana interaksi dan pertukaran yang berterusan berlaku (Holmlund & Tornroos, 1997). Tetapi hubungan dalam jaringan perniagaan ini juga boleh berlaku lebih daripada dua individu (triads relationship) yang mana hubungan- hubungan ini akan mewujudkan rantaian jaringan hubungan antara usahawan dengan pihak luaran. Selain itu, dalam membentuk rangkaian atau jaringan juga mempunyai pelbagai kelebihan seperti kemudahan untuk mencapai (accessibility), reputasi dan jangkaan atau pengharapan (expectation). Dengan terbentuknya rangkaian usahawan, ia dapat mencapai matlamat dengan lebih mudah.

          Rangkaian usahawan boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu rangkaian rasmi (formal networking) atau rangkaian tidak rasmi (informal networking). Rangkaian rasmi merupakan hubungan yang sedia ada di antara pelbagai pihak yang mempunyai hubungan symbiotic (suatu hubungan yang terbentuk daripada kebudayaan masing-masing yang hampir sama) dengan usahawan tersebut manakala rangkaian tidak rasmi terjalin melalui semasa zaman kanak-kanak, rakan kepada salah seorang keluarga dan orang yang berkongsi minat atau hobi yang sama. 

          Contoh usahawan yang mempunyai rangkaian yang hebat ialah Datin Mina yang berasal dari Ipoh, Perak. Beliau berjaya mendapat hak francais bagi mengedar dan menjual barangan The Body Shop  melalui syarikatnya, Rampai Niaga Sdn. Bhd. Hal ini kerana semasa Datin Mina berada di England beliau sering ke kedai The Body Shop dan bukan sahaja meminati pelbagai produk yang ada di sana malah menyukai segala aktiviti kempen yang dianjurkan. Apabila pulang ke Malaysia, Datin Mina masih terus memesan barangan keluaran kedai tersebut dari rakan-rakannya yang berkunjung ke London. Kerana minat yang mendalam, beliau merancang dan berusaha membawa produk tersebut ke Malaysia.

          Kedai pertamanya dibuka pada 8 Disember 1984 di Yow Chuan Plaza, Kuala Lumpur. Pada masa itu, Datin Mina belum mempunyai pengalaman menjalankan perniagaannya. Perniagaan The Body Shop dimulakan bersama rakan kongsinya, Mariam Tun Sulaiman. Wanita itu adalah isteri kepada rakan suaminya. Puan Mariam pada waktu itu adalah usahawan Amway yang berjaya. Di kedai mereka, Datin Mina menguruskan aktiviti dagangan manakala Puan Mariam menguruskan hal ehwal perhubungan awam. Perniagaan mereka berkembang dengan pesat dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

          Hal ini dapat menjelaskan lagi bahawa Datin Mina merupakan usahawan yang bijak mencari rangkaian demi memperluaskan dan menjayakan perniagaannya sendiri. Beliau sedar bahawa rakannya Puan Mariam merupakan seorang usahawan yang telah mempunyai pengalaman sedia ada dalam bidang tersebut dan pastinya Puan Mariam ini telah mempunyai ramai kenalan dalam bidang perniagaan. Oleh yang demikian jika Datin Mina mempunyai kerjasama dengan Puan Mariam pasti perniagaan barangan The Body Shop ini akan berkembang maju.

Berani mengambil risiko (Open risk taker)

 


          Seseorang usahawan tentunya memiliki ciri-ciri tertentu yang dapat membolehkan mereka berjaya dalam bidang yang diceburi. Dalam hal ini ciri yang perlu ada dalam diri seseorang usahawan ialah sanggup mengambil risiko dan mempunyai rangkaian hubungan dengan ramai pihak. Seperti yang sedia maklum bahawa, hukum bagi sesuatu risiko ialah semakin tinggi risiko, semakin tinggi pulangannya. Seseorang usahawan haruslah mengira dan memperhitungkan risiko yang bakal dihadapi bagi mengelakkan kemungkinan kerugian pada masa hadapan.

Berani mengambil risiko merupakan salah satu konsep keusahawanan yang perlu ada dalam jiwa seorang usahawan. Hal ini demikian kerana keneranian mengambil risiko memang ciri penting kejayaan dalam perniagaan. Persaingan segit dunia perniagaan kini menjadikan kemampuan mengurus risiko semakin penting dan kritikal. Usahawan perlulah meluangkan masa belajar mengenai pengurusan risiko. Malahan kejayaan perniagaan tidak boleh bergantung kepada nasib dan perniagaan perlu diurus dengan pengetahuan dan kebijaksanaan untuk mendapat kelebihan dalam persaingan.

Ramai usahawan menanggung padah kerana membuat keputusan perniagaan tanpa menilai kewujudan risiko secukupnya dengan tidak menganalisa, membuat kajian serta tinjauan yang mantap dari segi penilaian sesuatu risiko yang bakal dihadapi. Hal ini demikian kerana sudah banyak berlaku kes usahawan berdepan masalah selepas membuat keputusan pelaburan barutanpa mengkaji dengan terperinci risiko berkaitan keputusan itu. Risiko yang bakal dihadapi seorang usahawan haruslah diurus dengan baik dan dalam mengurus risiko tersebut usahawan perlu membayangkan setiap kemungkinan hasil sesuatu tindakan atau kegiatan yang ingin diputuskan (Stidcompapp, 2015).

          Selain itu, bagi ciri ini, kami telah memilih Datuk Dr Azlina Binti Hj. Che Abdullah sebagai tokoh usahawan yang memiliki ciri-ciri berani mengambil risiko. Datuk Dr Azlina Binti Hj. Che Abdullah merupakan peneraju kepada syarikat produk kecantikan dan kesihatan yang dipercayai iaitu D’ Navechee Beauty (M) Sdn.Bhd yang disegani dan menjadi ikon bagi anak muda yang ingin menceburi dalam bidang perniagaan. Pada awal permulaan karier beliau, Datuk Dr Azlina Binti Hj. Che Abdullah telah menempuhi pelbagai dugaan dan cabaran. Hal ini menyebabkan beliau menjadikan dirinya lebih matang dan bijak merebut peluang yang ada. Malahan Datuk Dr Azlina Binti Hj. Che Abdullah juga dikatakan sanggup mengambil risiko dengan menggadaikan apa sahaja yang dimilikinya seperti menjual aset yang ada bagi mambuka syarikat walaupun ketika itu kegawatan ekonomi berlaku. 

          Seterusnya, dalam usaha untuk menempuh kejayaan dalam bidang yang diceburi, setiap usahawan itu perlu menempuh pelbagai cabaran dan risiko yang tersendiri. Bagi Datuk Dr Azlina Binti Hj. Che Abdullah, niatnya ingin memulakan perniagaan dalam keadaan kegawatan ekonomi yang sedang berlaku akan memungkinkan dianggap tindakan yang kurang bijak. Walaupun begitu, beliau menyedari risiko akan keputusannya untuk memulakan perniagaan pada ketika kegawatan ekonomi berlaku, namun beliau tidak gentar di mana prinsip beliau ketika itu ialah “Orang yang bijak akan sentiasa mencari cara atau jalan untuk berjaya, sedangkan orang yang gagal pula sibuk mencari alasan”. Berbekalkan kesungguhan beliau yang ada pada dirinya, beliau kini mampu berdiri megah sebaris dengan jutawan kosmetik yang lain. Berbekalkan pengalaman, pengetahuan dan semangat ingin berjaya, beliau mampu menjadi tokoh yang disegani malah pernah menerima anugerah kehormat daripada Sultan atau Raja di negeri masing-masing (Shiroro, 2015).

Kesimpulannya, seseorang usahawan tidak perlu takut akan mengambil risiko. Hal ini demikian kerana setiap risiko yang dihadapi sebagai peluang untuk mengaut keuntungan. Malahan kejayaan yang diraih oleh usahawan pada masa ini tidak datang bergolek. Kebanyakkan dari mereka terpaksa berdepan dengan cabaran dan risiko yang mungkin akan memberi kesan terhadap masa depan usahawan tersebut.

Pemerhati (Observant)


          Observant bermaksud taat, atau dalam konteks perniagaan membawa maksud penglihatan atau lebih spesik dikatakan teliti dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Selain itu, observant daripada konteks bahasa Melayu ialah seseorang yang memberi prihatin yang banyak dalam melakukan sesuatu perkara ataupun seseorang yang sentiasa melakukan sesuatu perkara dengan berhati-hati. Untuk menjadi usahawan yang berjaya, seseorang itu perlu prihatin ke atas persekitaran dan merebut segala peluang yang ada dalam usaha memajukan perniagaan supaya mereka boleh terus berjaya atau mempu bertahan atas usaha mereka. Di samping itu, usahawan perlu mempunyai penglihatan yang tajam, mempunyai kebijaksaan serta berpandangan jauh.

          Contoh usahawan yang pemerhati (observant) ialah Lee Byung Chul yang merupakan pengasas Samsung. Beliau dilahirkan pada 19 Februari 1920. Beliau adalah anak kepada keluarga bangsawan dan menghadiri kolej di Tokyo tetapi tidak sempat menghabiskan pengajiannya kerana kematian bapanya. Pada tahun 1938, Lee Byung Chul menubuhkan sebuah syarikat perdagangan eksport yang diberi nama Samsung Trading Co. Syarikat ini mengeksport barang-barang seperti ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan ke negara-negara seperti China dan Jepun.

          Lee Byung Chul boleh dijadikan sebagai contoh usahawan pemerhati (observant) kerana mampu melihat peluang, mengambil risiko serta mengubah masa depan untuk menandingi syarikat elektronik lain seperti Nokia, Motorola, Sony dan sebagainya. Lee Byung Chul menceburi bidang elektronik setelah melihat peluang yang cerah dalam bidang tersebut. Selepas sembilan tahun penubuhan Samsung Electronics, syarikat ini telah berjaya mengeluarkan 2 juta unit produk elektronik mereka iaitu televisyen hitam-putih (tanpa warna). Pada Mac 1984, syarikat berkenaan berjaya lagi mengeluarkan 5 juta set televisyen berwarna dan menjadi syarikat ketiga di dunia selepas Jepun dan Belanda.

          Selain itu juga, beliau sebagai usahawan “observant” apabila beliau berfikir melangkaui fikiran orang lain, iaitu berjaya mencipta memori chips dan secara tidak langsung telah menjadikan Samsung sebagai pengeluar terbesar memori chips dan pembuat kedua memory chips selepas Intel.

          Dengan perkembangan yang begitu memberansangkan, kini Samsung telah mencipta pelbagai jenis telefon bimbit yang mempunyai pelbagai fungsi yang berlainan dari semasa ke semasa mengikut peredaran teknologi. Sifat “observant” yang ada pada Lee Byung Chul menjadikan Samsung sebagai sebuah syarikat teknologi yang bertaraf tinggi setanding dengan jenama “Apple”. Walaupun produk Samsung merupakan antara produk teknologi yang mahal di dunia disebabkan ciri-ciri keistimewaannya sendiri, namun ia berjaya meyakinkan pengguna terhadap penggunaan Samsung. Walau bagaimanapun, Samsung juga mencipta telefon bimbit yang harganya lebih rendah mengikut kesesuaian pengguna masing-masing. Disebabkan beliau mempunyai pemikiran yang tajam, mempunyai kebijaksaan serta berpandangan jauh, kini Samsung menjadi pilihan orang ramai di dunia.

Berwawasan (Visionary)


  
            Berwawasan adalah salah satu ciri-ciri penting untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Usahawan merupakan orang yang banyak menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara, membuka pelunag pekerjaan kepada orang ramai dan mengurangkan kadar pengangguran. Berwawasan bagi seorang usahawan mestilah berlandaskan pelbagai keadaan seperti keadaan ekonomi dunia, atas permintaan pengguna dan sebagainya. Rosli Mahmood etc (2010) menyatakan bahawa usahawan akan sedaya upaya berusaha untuk mencapai wawasan perniagaannya itu bagi membolehkan usahawan tersebut menjadikan perniagaannya termasyhur di mata rakyat.

            Selain itu, usahawan juga mempunyai keyakinan diri yang tinggi di atas kebolehan mereka untuk mencapai kejayaan. Hal ini demikan kerana membolehkan usahawan tersebut akan  berkecenderung untuk membuatkan mereka lebih bersikap optimistik terhadap kejayaan yang akan mereka kecapi dan sikap ini berdasarkan kepada keadaan sebenar. Malahan dengan mempunyai keyakinan dan optimistik yang tinggi, tidak hairanlah banyak usahawan yang pernah gagal berkali-kali akhirnya menjadi seorang usahawan yang berjaya.

      Seterusnya, setiap usahawan mempunyai wawasan yang tersendiri mengikut perkhidmatan dan barangan yang disediakan. Contoh tokoh usahawan yang berjaya yang memiliki ciri-ciri berwawasan ialah Dato’ Aliff Syukri Kamarzaman yang merupakan seorang usahawan kosmetik, D’Herbs Healthy Sdn. Bhd yang berjaya. Hal ini demikian kerana, beliau yang dulunya bekerja sebagai penjual kosmetik di pasar malam dan bekerja dengan orang lain. Pekerjaan tersebut baginya amat meletihkan dan beliau juga membuka bengkel make up di pejabat. Berkat keazaman dan matlamat yang tinggi untuk berjaya akhirnya beliau dapat membuka syarikat kosmetiknya sendiri.

            Di samping itu, Dato’ Aliff Syukri yang merupakan seorang usahawan yang berjaya dan berwawasan tinggi. Sebagai contohnya, beliau bertekad untuk menjadikan produk D’Herbs Healthy Sdn. Bhd terus laris di pasaran dan menjadi pilihan setiap orang. Malahan, bukan itu sahaja yang beliau lakukan tp beliau juga turut mencipta slogan yang dipilih olehnya yang juga mempunyai wawasan yang tinggi dan buktinya slogan “Terlajak Laris” dengan secara tidak langsung dapat memberi motivasi kepada beliau untuk terus mengeluarkan produk terbaru. Hal ini menyebabkan pengguna yang sentiasa mahukan sesuatu produk yang baru. Dato’ Aliff Syukri bukan sahaja dapat meyakinkan pengguna bahawa produk yang dikeluarkan ini memang terbaik malah dapat memajukan lagi perusahaan syarikatnya. 

            Dato’ Aliff Syukri yang mempunyai wawasan atau matlamat untuk dicapai dalam jangka masa panjang. Contohnya, beliau meletakkan visi utama D’Herbs adalah untuk menjadikan syarikatnya sebagai sebuah syarikat single level. Syarikat single level ini akan mengeluarkan produk kecantikan dan kesihatan dengan konsep terbuka yang lebih mudah dan ringkas. Malahan beliau juga akan memastikan sistem pengurusan di syarikatnya akan bertambah baik dan juga yakin terhadap keberkesanan produk yang dikeluarkan. Oleh itu, Dato’ Aliff Syukri akan memastikan kualiti produknya mempunyai sitem terbaik serta menyediakan harga yang berpatutan dan juga mampu dibeli oleh pengguna (Golden Entrepreneurship, 2015).  

            Kesimpulannya, usahawan perlu mempunyai wawasan yang jauh dan mewujudkan matlamat yang jelas dan boleh diukur pencapaiannya. Usahawan juga perlu peka kepada kemampuan sendiri dan mengenalpasti halangan dalaman dan luaran supaya halangan tersebut dapat diatasi. Seorang usahawan yang berjaya akan mempunyai wawasan yang tinggi dan akan mencapai kejayaanya itu seiring dengan tindakan yang akan dilakukan. Hal ini demikian kerana dengan adanya wawasan, usahawan akan lebih bersemangat untuk menjayakan atau meningkatkan lagi barang dan perkhidmatan yang disediakan.

Kegagalan satu pilihan (Failure is an option)
 
 



          Kegagalan merupakan kejayaan yang tertunda atau dalam erti kata lain kegagalan adalah permulaan kepada kejayaan. Kegagalan amat berkait rapat dengan kejayaan. Ini bermaksud dalam perjalanan menuju kejayaan, kita akan menempuh pelbagai kegagalan. Kesilapan dan kegagalan merupakan salah satu faktor yang memainkan peranan yang penting dalam proses pembelajaran bagi seorang usahawan. Kebanyakan usahawan yang berjaya pastinya mempunyai sejarah kegagalan mereka yang tersendiri yang dijadikan sebagai proses pembelajaran bagi membolehkan mereka untuk mencapai kejayaan yang mereka kecapi. Menurut Mohd Hassan (2007), kegagalan perlu dijadikan sebagai pengalaman atau peluang untuk terus berjaya.

          Kegagalan dalam perniagaan merupakan perkara biasa yang akan dihadapi oleh setiap usahawan. Gagal sekali tidak bermakna akan terus gagal hingga ke penghujungnya. Ramai usahawan yang gagal sekali tetapi terus bangun hingga berjaya sampai sekarang. Kegagalan adalah suatu perkara yang baik bagi seorang usahawan. Kegagalan dari sudut positif dapat dijadikan sebagai motivasi pembakar semangat untuk meneruskan perniagaan tersebut. Motivasi juga merupakan satu resepi kepada seseorang usahawan untuk menjalankan perniagaan. Seseorang usahawan tidak boleh mudah berputus asa dan berfikiran negatif kerana usahawan harus mempunyai sikap terus berusaha untuk mencapai kejayaan di masa hadapan. Usahawan perlu menjalankan perniagaan mereka secara berperingkat dan berpandangan jauh jika ingin berjaya kerana tiada jalan pintas untuk peroleh kejayaan dan kekayaan.   

          Seorang usahawan berjaya yang mempunyai ciri seperti ini adalah Tan Sri Mokhzani Bin Tun Mahatir. Beliau tidak akan dapat lari daripada menghadapi risiko kegagalan dalam perniagaan. Bagi seorang usahawan yang bermotivasi dan berfikiran terbuka, beliau akan menganggap kegagalan yang dihadapi dalam perniagaan adalah sebagai satu cabaran untuk terus berjaya dan maju dalam perniagaan yang telah diceburi. Kegagalan ini dikatakan sebagai satu risiko yang akan dihadapi oleh beliau untuk berjaya seperti hari ini. Sebagai contoh, Tan Sri Mokhzani sendiri pernah melalui masa-masa sukar dan jatuh bangun semasa beliau menjalankan perniagaan beliau.

         Tan Sri Mokhzani selaku Pengawai Eksekutif Kencana Petroleum Berhad, pernah mengalami situasi yang memerlukan beliau bertindak bijak dalam mengatasinya. Beliau pernah mengalami naik turun dalam dunia korporat sebelum menyertai Kencana Petroleum pada tahun 2001. Beliau gagal dalam mengekalkan pegangan 12.6 peratus saham dalam Tongkah Holdings dan 32.9 peratus dalam Pantai Holdings semasa berlakunya krisis kewangan pada tahun 1997. Namun, ianya tidak pernah melenyapkan beliau dalam arus dunia korporat tempatan. Dalam keadaan krisis kewangan yang semakin meruncing itu, beliau membuat keputusan untuk meletak jawatannya sebagai Penolong Bendahari Pemuda UMNO Malaysia dengan alasan untuk menumpukan perhatian terhadap perniagaannya yang terjejas akibat krisis kewangan tersebut.

          Namun selepas krisis dan keadaan ini berlaku, beliau kemudian bernasib baik kerana telah menemui Chong Hin Loon, pengasas Kencana Petroleum dan sekarang ini merupakan penasihat dan juga Timbalan Pengerusi Eksekutif Kencana Petroleum. Pada ketika itu, Chong Hin Loon sedang berusaha mencari rakan kongsi dalam kalangan bumiputera. Pertemuan Chong Hin Loon dengan Tan Sri Mokhzani yang sememangnya arif dalam hal ehwal kejuruteraan pertroleum benar-benar membawa tuah kepada Kencana Petroleum. Sejak Tan Sri Mokhzani menyertai Kencana Petroleum pada tahun 2001, syarikat tersebut semakin berkembang dan memenuhi aspirasi penubuhannya.

Berfikiran Terbuka (Open Culture)



          Usahawan yang berjaya haruslah memiliki ciri berfikiran terbuka dalam menguruskan sesebuah perniagaan. Berfikiran terbuka merupakan suatu konsep di mana setiap pengetahuan seharusnya dikongsi atau disebarkan secara bebas dan perkembangannya adalah hasil daripada proses pembangunan, pengubahsuaian dan pengkayaan terhadap usaha sedia ada berasaskan perkongsian dan kerjasama tanpa terikat dengan undang-undang berkait rapat dengan hak perlindungan intelektual (Centre International D’art Contemporain De Montreal, 2015). Keterbukaan merupakan salah satu corak komunikasi kepimpinan yang penting. Dalam konteks organisasi, pemimpin iaitu usahawan yang mempunyai sikap terbuka dapat memperlihatkan kesanggupan untuk menerima teguran yang membina, mudah diajak berbincang dalam segala masalah, bersedia berkongsi maklumat berkaitan tugas serta bersedia untuk mendengar dan menerima pendapat daripada mana-mana individu (Nor Hartini Saari).

          Seseorang usahawan bukan sahaja harus bersedia mendengar pandangan atau idea daripada individu yang berjawatan tinggi, malah pandangan pekerja bawahan atau pekerja lebih muda juga harus diambil kira dalam membuat sesuatu keputusan. Sikap keterbukaan seseorang usahawan amat perlu dalam organisasi kerana usahawan dan pekerja dapat berkongsi maklumat kerja melalui sebarang bentuk perbincangan. Setiap usahawan pada masa kini perlulah berfikiran terbuka dalam menerima sesuatu perubahan disamping dapat mengelak daripada terpengaruh dengan anasir-anasir yang tidak sihat serta mampu menjadi seseorang yang berkemampuan melihat dan merebut peluang yang ada dihadapan mata untuk kejayaan sesebuah organisasi (Rosli Mahmood et al., 2015). Usahawan yang berjaya akan berpandangan jauh dan menetapkan segala matlamat untuk perniagaan mereka. Mereka juga akan berusaha bagi membolehkan beliau menjadikan perniagaannya termasyhur di mata rakyat. Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, berpandangan jauh bermaksud kebolehan menjangka (keperluan, masalah, perkembangan) yang akan datang atau timbul. Dengan memiliki kebolehan tersebut, seseorang individu dapat membuat rancangan yang rapi untuk jangka waktu yang panjang (Group10entrepreneur, 2015).

          Contohnya seperti Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew iaitu Pengasas Boon Siew Honda. Beliau bersama pengasas Honda Soichiro Honda Datuk Loh Boon Siew berasal dari kampung Hui, daerah Fukian, sebuah wilayah yang dianggap paling miskin di China pada satu ketika dahulu. Kehidupan keluarga Datuk Loh sangat miskin menyebabkan beliau tidak pernah berpeluang ke sekolah. Sejak kecil lagi beliau bekerja mencari duit untuk tambahan pendapatan keluarganya. Pelbagai pekerjaan pernah beliau lakukan. Ketika berumur 18 tahun, beliau tertarik untuk berniaga sendiri dan sering memikirkan cara bagaimana untuk mendapat peluang berbuat demikian. Pelbagai usaha beliau lakukan untuk mencapai minat tersebut. Selepas perang dunia kedua tamat, Datuk Loh telah mempunyai perniagaannya sendiri dengan membuka kedai kereta terpakai dan menjadi ejen pengedar beberapa jenis motosikal keluaran British.

          Pada tahun 1958, beliau telah melawat Jepun untuk makan angin dan ternampak sebuah motorsikal Honda yang belum pernah digunakan di Malaysia dan berfikir mungkin akan mendapat pasaran yang baik jika dibawa ke Malaysia. Tan Sri Dato Loh Boon Siew telah membuat keputusan untuk membuat perjanjian dengan memesan 12 unit motosikal. Motosikal ini kemudian dijual kepada kawan rapatnya tanpa mengambil apa-apa untung. Motosikal Honda yang dibawanya ditertawakan oleh orang ramai yang menganggap ia tidak berguna dan cepat rosak, namun ia tidak mematahkan hasratnya untuk memperkenalkan motosikal sehingga menjelang tahun 1963, motosikal Honda menjadi kenderaan yang paling diminati.

          Beliau adalah orang yang berjaya menempatkan kereta jenis Honda sebagai kenderaan ketiga terbesar dijual di negara ini sejak beberapa tahun lalu. Kejayaan ini membuktikan bahawa beliau sangat berfikiran terbuka dan kini beliau mempunyai alasan untuk berbangga dengan kejayaannya di dalam alam perniagaan dan tokoh korporat, sekali gus meletakkan beliau sebagai seorang yang terkaya di Pulau Pinang dan antara 10 tokoh usahawan terkemuka di Malaysia.

Berorientasikan hasil (Outcome oriented)



          Berorientasikan hasil adalah satu hasil bagi menggambarkan seorang atau sebuah syarikat yang mementingkan hasil daripada proses. Apa yang dimaksudkan di sini ialah semasa menjalankan sesuatu, kita hanya menumpukan perhatian terhadap matlamat dan mementingkan capaian serta sanggup membuat apa cara sekalipun untuk mencapai matlamat yang ditetapkan walaupun cara yang dijalankan kemungkinan susah. Sebagai seorang usahawan, memperoleh hasil yang lumayan mestilah merupakan motif yang hendak dicapai. Hasil yang diperolehi boleh dijadikan sebagai satu sumber untuk mendorong seseorang usahawan lebih bersemangat dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamatnya.

          Ciri keusahawanan ini boleh dilihat pada Sharifah Nabilla Al-Yahya Syed Shah atau lebih dikenali sebagai Belle yang merupakan pengasas jenama busana Muslimah Bella Ammara. Kekaguman bukan sahaja pada perwatakannya, tetapi keupayaannya membangunkan jenama Bella Ammara sehingga ia menjadi sebutan penggemar fesyen di Malaysia. Hanya beroperasi selama tiga tahun, pada usia 27 tahun dia sudah memiliki empayar perniagaannya sendiri dengan tujuh cawangan butik di seluruh Malaysia. Satu pencapaian yang sangat membanggakan dan cukup memberikan inspirasi kepada sesiapa sahaja yang baru memulakan perniagaan.

          Ciri keusahawanan berorientasikan hasil dapat dilihat apabila Belle asalnya yang bekerja sebagai arkitek meninggalkan kerjayanya demi mengusahakan perniagaan pakaian Muslimah. Malah dia juga menunjukkan kebolehannya menghasilkan reka bentuk keseluruhan butik di Shah Alam dan Bangi Sentral bertemakan gaya Inggeris dan klasik Perancis. Mengakui suami menjadi tulang belakang utama sehingga hari ini, apabila suami sangat komited untuk melihat perniagaan yang diusahakan bersama-sama berkembang maju.

          Semuanya bermula pada tahun 2012 sebaik sahaja menamatkan pengajian dalam bidang seni bina. Disebabkan ingin melangsungkan perkahwinan, dia bersama bakal suaminya ketika itu, Muhammad Khalif Samsudin atau dikenali sebagai Carl Samsudin mula mencari wang tambahan bagi membiayai perkahwinan mereka. Demi memulakan perniagaan, Carl meminjam duit ibunya sebanyak RM1,000 untuk membeli sembilan pasang telekung berwarna. Dengan langsung tiada pengalaman berniaga, sembilan pasang telekung dijual menerusi pemasaran di Facebook. Telekung yang dijual sangat mendapat sambutan sehingga terpaksa mengambil jumlah yang banyak bagi memenuhi permintaan ramai. Dan sekarang Bella Ammara mempunyai pelbagai jenis rekaan busana Muslimah yang amat mendapat sambutan daripada wanita di Malaysia.

Berorientasikan Pasukan (Team Oriented)

                                                                    

Berorientasikan pasukan (team oriented) merupakan setiap individu digabungkan menjadi sebuah kumpulan untuk membincangkan dan melaksanakan sebuah matlamat yang sama. Menggabungkan fikiran dan kreatif setiap ahli kumpulan memberi kesan yang baik. Pasukan yang terdiri daripada gabungan sebilangan individu yang mempunyai kepakaran, kemahiran, potensi, pengetahuan dan komitmen yang berlainan kepada pasukan yang rela bekerja bersama-sama. Kerjasama dalam kumpulan dapat mengumpulkan idea yang dapat menghasilkan satu projek yang lebih sempurna dan dapat mengurangkan kesalahan. Dalam kumpulan, semua ahli usahawan adalah sama rata, semua ahli dapat mengemukakan dan berkongsi pengalaman mereka tersebut dalam mengurangkan kesalahan. Selain itu, bekerja dalam kumpulan dapat belajar cara mendengar dan memahami cadangan usahawan lain dan sikap bertanggungjawab yang perlu diamalkan. Apabila semua ahli mempunyai pandangan dan pendapat yang berbeza, banyak perbincangan akan dilakukan untuk menetapkan keputusan akhir atas pertimbangan antara semua usahawan.

          Usahawan yang menunjukkan ciri ini ialah Tan Sri Anthony Francis iaitu seorang tokoh usahawan yang berketurunan India yang lebih dikenali sebagai Tony Fernandes. Tony Fernandes merupakan pengasas syarikat Tune Air Sdn. Bhd. iaitu syarikat yang menawarkan perkhidmatan penerbangan tambang murah kepada penduduk Malaysia. Tony Fernandes mempunyai gaya pengurusannya yang tersendiri iaitu beliau percaya bahawa seorang pengasas syarikat tidak sepatutnya hanya berada di dalam pejabat dengan melihat laporan kewangan sahaja. Tony Fernandes sentiasa melawat pekerja bawahannya di samping membuat pemantauan terhadap pekerjanya. Ciri kerja berpasukan beliau dapat dilihat melalui kemampuannnya dalam menguruskan keberkesanan tahap pengurusan organisasinya yang mampu bersaing sehingga ke peringkat global.

            Di samping itu, Tony Fernandes juga ada mengatakan bahawa pekerja perlu diutamakan sebelum pelanggan. Hal ini kerana pekerja merupakan aset yang paling penting dalam syarikatnya. Beliau juga bukan sahaja memberikan latihan yang sewajarnya kepada para pekerjanya tetapi turut menubuhkan sebuah Unit Budaya Korporat yang bertanggungjawab dalam menerapkan nilai dan amalan syarikat kepada semua pekerjanya. Beliau percaya bahawa dengan bekerja dalam suasana yang gembira, pekerjanya akan menjaga pelanggan yang menggunakan perkhidmatan mereka. Tidak hairanlah, syarikat penerbangan murah ini disegani oleh syarikat penerbangan antarabangsa yang lain. Jelaslah bahawa kerja berpasukan melalui pengurusan yang berkualiti dengan kerjasama daripada semua pihak sama ada pihak atasan atau bawahan menjamin kejayaan sesebuah perniagaan.

Proaktif (Proactive)


                                                                   
          Ciri setiap usahawan yang ditonjolkan dalam berniagaan mestilah mempunyai sikap yang proaktif. Seorang usahawan yang bersifat proaktif ialah seorang usahawan yang berinisiatif tinggi dan bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang dibuat di dalam perniagaanya. Bersikap proaktif membolehkan setiap usahawan berani untuk membuatkan keputusan. Usahawan yang proaktif juga akan bertindak dengan lebih agresif dalam segala tingkah laku dan tindakan dalam dunia perniagaan. Malahan usahawan memliliki matlamat, wawasan dan sentiasa mahu untuk terus maju kehadapan.

          Selain itu, usahawan yang bersikap proaktif akan turut melibatkan dalam pencarian peluang baru yang di luar bidang operasi perniagaannya. Usahawan lebih mahir dan kreatif menghasilkan produk dan perkhidmatan dalam dunia perniagaan. Melalui sikap proaktif juga, usahawan percaya bahawa dapat mengawal apa-apa yang berlaku disekelilingnya serta mereka tidak mudah untuk menyalahkan orang lain atau keadaan apabila berlaku sesuatu dalam perniagaan tersebut.

          Usahawan yang mempunya ciri bersikap proaktif juga bijak dalam merangka strategi perniagaan supaya sebarang kesilapan dalam operasi perniagaan dapat diperbetulkan dengan secepat yang mungkin. Hal ini demikan kerana, setiap kesilapan yang berlaku ini akan mengambil masa yang agak lama dan berkemungkinan akan menjejaskan keuntungan perniagaan mereka. Bersikap proaktif juga akan menyebabkan seseorang usahawan bertindak untuk membentuk sesuatu persekitaran yang baru. Malahan tindakan ini boleh menyebabkan firma yang berkeusahawanan itu menjadi pemimpin di dalam pasaran dengan mempengaruhi kaedah persaingan dan turut membina permintaan yang baru.

          Datuk Jimmy Choo mempunyai ciri usahawan yang berjaya iaitu proaktif. Datuk Jimmy Choo sinonim dengan kasut yang eksklusif dan bergaya. Beliau bukan sahaja seorang pereka kasut malah seorang tukang membuat kasut yang mahir dan pakar dalam menghasilkan hasil seninya. Datuk Jimmy Choo sangat teliti dalam membentuk acuan kasut yang terdiri daripada bahagian atas, tapak dan tumit bagi memastikan kasut rekannya itu  seimbang supaya pemakai kasutnya berasa selesa dan selamat walaupun mengenakan kasut bertumit tinggi bagi golongan wanita (Usahawan, 2016).

            Datuk Jimmy Choo mampu menyerap dengan baik akan perubahan zaman yang kini memerlukan fesyen yang terkini. Sebagai bukti, beliau mendapat pendedahan awal mengenai teknik pembuatan kasut daripada ayahnya iaitu seorang tukang kasut sepenuh masa. Datuk Jimmy Choo berubah nasib apabila mendiang Puteri Diana berkenan dengan rekaan beliau. Puteri Diana terus jatuh cinta dengan rekaan beliau dan menyebabkan nama Jimmy Choo terus melonjak di pasaran antarabangsa. Kini, jenama Jimmy Choo dikaitkan dengan gaya, kemewahan dan ketulenan serta menjadi kegilaan artis dan selebriti di serata dunia.

          Minat Datuk Jimmy Choo terhadap kasut dan semangat yang kuat telah memotivasikan beliau mengharungi pelbagai rintangan dalam mengejar cita-citanya menyebabkan jenama Jimmy Choo terus gah sehingga sekarang. Setiap cabaran merupakan sebuah langkah permulaan kepada kejayaanya. Permulaan yang penuh dengan liku onak dan duri meletakkan usahawan ini antara yang paling berjaya dalam bidang pembuatan kasut. Hal ini secara tidak langsung meletakkan beliau antara golongan jutawan yang terkaya di Malaysia malah di dunia (Kuenchi Yuen, 2015).    

          Kesimpulannya, bersikap proaktif akan membolehkan seseorang usahawan itu terus berjaya dalam perniagaannya. Malahan usahawan tersebut dapat mencapai matlamat yang telah ditetapkan dalam perniagaan tersebut. Bersikap proaktif juga menyebabkan seseorang usahawan dapat mencari pelbagai peluang dalam mengembangkan perniagaan dan dapat memberikan kesan yang baik terhadap perniagaannya pada masa hadapan.


         B) TOKOH USAHAWAN YANG BERJAYA
 
          Tokoh usahawan yang telah berjaya mencipta nama di persada dunia adalah Dato’ Haji Ameer Ali Mydin. Dato’ Ameer Ali yang merupakan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holding Berhad dan juga merupakan anak kepada pengasas pasaraya Mydin iaitu Tuan Mydin Mohamed Bin Ghulam yang mengasaskan Mydin sejak tahun 1957. Daripada sebuah kedai kecil di Kota Bharu, Kelantan, kini Mydin telah berkembang dengan pesat menjadi hypermarket ke seluruh negara. Terdapat lebih 90 kedai termasuk lapan buah pasaraya besar dan Mydin Wholesale Emporium di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia sehingga ke hari ini. Beliau yang berkelulusan Masters in International Business daripada Sanoma State University, California mula menyertai perniagaan bapanya pada tahun 1987, setelah beberapa tahun berkhidmat dengan Arab Malaysian Merchant Bank. Beliau dilahirkan pada 4 Jun 1956 di Kota Bharu, Kelantan. Berbekalkan sokongan padu dan berterusan daripada keluarga tercinta, beliau telah membawa Mydin satu langkah lagi ke hadapan. Mydin yang kini beroperasi lebih daripada 95 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia mempunyai rantaian perniagaan yang pelbagai seperti emporium, pasaraya besar, kedai serbaneka, pasar mini dan bazar, dan perolehan MYDIN kini melebihi RM1.6 bilion setahun.

          Dato’ Haji Ameer Ali telah menumpukan tenaga dan kepakaran untuk kesejahteraan ekonomi Malaysia. Beliau membuat sumbangan besar kepada pembangunan industri runcit Malaysia bukan sahaja dengan aktif menyokong dan mempromosikan produk tempatan dan IKS/PKS tetapi juga menjalankan perniagaan cara yang sihat dengan mengamalkan produk dan perkhidmatan Halal. Sebagai pengiktirafan sumbangan Dato’ Haji Ameer Ali kepada aspirasi Industri Peruncitan Malaysia dan usahawan bumiputera, beliau telah dikurniakan dengan beberapa anugerah seperti dianugerahkan Dato’ (DIMP) oleh Sultan Pahang pada tahun 1999, pemenang Anugerah Usahawan Tahun oleh Ernst & Young di bawah kategori Master Entrepreneur 2007, dan Anugerah Keusahawanan Asia Pacific Entrepreneurship Award (APEA) for Malaysia Region di bawah kategoti Usahawan Cemerlang 2007. 

          Di bawah kepimpinan Dato’ Haji Ameer Ali Mydin, beliau telah menjadikan Kumpulan Mydin sebagai salah sebuah pasaraya yang terlibat dalam program TUKAR (Transformasi Kedai Runcit). Di bawah program ini, Mydin berperanan sebagai konsultan dan pembantu dalam melaksanakan program ini. Program inisiatif daripada Kementerian Perdagangan dalam Negeri ini bertujuan untuk memodenkan kedai runcit tradisi. Proses transformasi ini merangkumi pengaturan semula barang niaga, pelaksanaan ‘point of sales system’ yang lebih baik efisien, dan peningkatan rupa bentuk luar dan dalam kedai. Kedai runcit yang terlibat dalam program ini akan diberikan pinjaman oleh Bank Rakyat sebanyak RM20000 hingga RM60000. Berikutan kejayaan program TUKAR ini juga, dan di atas tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat, Kumpulan Mydin telah diberi kepercayaan oleh Kerajaan Malaysia untuk menjadi operator bagi projek Kedai Rakyat 1 Malaysia (KRIM). Sebagai operator, Mydin dipertanggungjawabkan untuk membantu dalam memasang peralatan kedai dan pengurusan bekalan, IT Support, memberikan kemahiran teknik dan jualan serta latihan kepada para peniaga baru.

          Kejayaan yang dikecapi Kumpulan Mydin hari ini sebenarnya bertitik-tolak daripada ciri-ciri kepimpinan yang diamalkan oleh pihak atasan Mydin dan juga oleh Dato’ Haji Ameer Ali itu sendiri.


Daya Usaha

          Semenjak dari keil lagi Dato’ Ameer Ali telah mengikut bapanya berniaga di kedai. Beliau juga turut diajar untuk menjadi lebih berdisiplin serta berjimat cermat oleh bapanya sejak dari kecil. Malahan ternyata sikap tersebut menjadi prinsip penting dalam kehidupan dan perniagaan beliau sehingga ke hari ini. Dato’ Ameer Ali juga sangat mengambil berat tentang para pekerjanya dan dapat membuatkan pekerjanya berasa senang untuk bekerja bersamanya. Beliau juga akan berkongsi keuntungan bersama para pekerja dengan memberikan bonus kepada pekerja yang telah melakukan pekerjaan dengan baik.

            Selain itu, pelbagai rangkaian produk ditawarkan untuk memenuhi keperluan yang berbeza merupakan kunci kejayaan Mydin yang mengetahui selera pelanggannya. Dato’ Ameer Ali sangat mahir menggerakkan kecekapan dan keupayaan dalam pemasarannya yang ditunjukkan melalui pengalaman beliau. Mydin juga tahu pelanggannya dengan baik dan memberikan tumpuan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, malahan penyesuaian dan fleksibiliti dalam barangan yang ditawarkan ini telah wujud di Mydin.   Oleh itu, bagi memenuhi keperluan segmen pasaran yang berbeza, Dato’ Ameer Ali tampil dengan portfolio format perniagaan yang berbeza seperti pasaraya besar, emporium, kedai runcit dan pasar mini telah yang terbukti sangat berjaya. Setiap perniagaan mempunyai format khusus dan memberi tumpuan kepada memenuhi segmen pelanggan yang tersendiri di seluruh Malaysia.


Kecekapan Masa

            Kecekapan masa merupakan ciri-ciri yang sangat penting dalam memajukan sesuatu perniagaan. Dato’ Ameer Ali merupakan seorang yang sangat mementingkan kecekapan masa. Ciri-ciri ini adalah salah satu cirri yang ada pada dirinya yang boleh membawa beliau sehingga berjaya. Dato’ Ameer Ali telah mengambil alih perniagaan keluarganya yang telah ditubuhkan oleh ayahnya, Mydin Mohamed Bin Ghulam Hussein iaitu Mydin Mohamed Holding Berhad. Beliau juga sentiasa mengisi masanya dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah supaya tiada berlakunya pembaziran masa. Sebagai contoh Dato’ Ameer Ali akan menolong ayanhnya di kedai selepas beliau pulang dari sekolah. Malahan kecekapan masa ini juga menjadi prinsip utama bagi pekerja-pekerja Dato’ Ameer Ali, contohnya “Jika anda tiba tepat pada waktunya, anda adalah lewat”.

            Mydin berkembang dengan lebih pesat di Semenanjung Malaysia sehingga kini dan telah mempunyai lebih daripada 90 buah kedai termasuklah pasaraya dan emporium setelah Dato’ Ameer Ali menyertai perniagaan ayahnya. Dato Ameer Ali juga telah melancarkan program Transformasi Kedai Runcit di mana program ini akan memodenkan kedai runcit tradisi. Beliau merupakan seorang yang berjimat cermat dan mengamalkan amalan kesederhanaan. Dato’ Ameer Ali turut sentiasa memberikan motivasi kepada pihak lain yang ingin berjaya dalam kehidupan kerana beliau tidaklah terus bekerja dengan perniagaan keluarganya tetapi beliau telah bekerja dan mengambil pengalaman dahulu di Arab Malaysian Merchant Bank. Hal ini di mana Dato’ Ameer Ali bermula daripada bawah untuk berjaya tanpa mengharapkan pertolongan daripada orang lain.


Mempunyai Pandangan Jauh

            Mempunyai pandangan yang jauh dan pemikiran yang bersikap kreatif merupakan antara ciri yang membolehkan Dato’ Ameer Ali berjaya sebagai seorang usahawan dalam mengembangkan Mydin Mohamed Holding Berhad. Mydin telah mengembangkan perniagaan secara berperingkat-peringkat dan hal ini adalah kerana skop pemikiran yang luas ke hadapan yang membolehkan rancangan strategi perniagaan yang berkesan. Maka tidak hairanlah jika Mydin Mohamed Holding Berhad mampu meraih jualan sebanyak RM2.2 bilion bagi tahun 2012.

            Hasil pandangan yang jauh ini juga telah menimbulkan idea untuk menvariasikan rangkaian produknya. Semasa perniagaan ayahnya hanya menjual barangan keperluan harian dan alatan mainan di kedai kecilnya dan ayahnya telah merancang strategi untuk mempelbagaikan jenis produk jualannya apabila berkembang kelak. Contoh rangkaian produk ialah peralatan elektrik, pinggan mangkuk, alat tulis, aksesori, pakaian dan lain-lain. Dato’ Ameer Ali berusaha untuk mencari dana bagi penubuhan cawangan Mydin di Subang Jaya amat sukar apabila kesemua bank menolak permohonan pinjamannya. Hal ini demikian kerana projek ini dianggap amat berisiko kerana lokasi penubuhannya yang terletak hanya bersebelahan dengan pasaraya Giant yang turut menjadi pilihan pengguna.

          Pemikiran Dato’ Ameer Ali yang yakin dengan perniagaannya dan ganjaran yang akan diterima pada masa akan datang kerana risiko yang diambilnya dan beliau terus berazam untuk mendapatkan dana. Akhirnya permohonan pinjamannya diluluskan oleh Arab Malaysian Bank Berhad. Hasilnya, terbukti bahawa jangkaan Dato’ Ameer Ali tepat. Cawangan Mydin di Subang Jaya hanya dalam tempoh setahun terpaksa meluaskan kawasan tempat letak kereta kerana sambutan yang amat menggalakkan dari pelanggan. 
     

Bijak mencari peluang dan mengaplikasikannya dalam organisasi

          Dato’ Ameer Ali galak berusaha agar dikenali sebagai rangkaian pasaraya terhebat dengan mengadakan promosi-promosi serta iklan yang dapat menarik pelanggan untuk terus mengunjungi pasaraya Mydin. Beliau melihat dari pelbagai sudut terutamanya pemasaran bagi memajukan perniagaannya. Beliau melihat dari sudut umur, teknologi masa kini serta kekangan-kekangan yang dihadapi oleh masyarakat contohnya kejatuhan mata wang dan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dengan mengurangkan harga. Dengan terus-menerus mengadakan iklan melalui media massa mahupun lampiran, masyarakat kini tertarik untuk mengunjungi ke Mydin dengan tersematnya di minda harga barangan yang murah dan berpatutan.

Mengalakkan komunikasi terbuka

          Dato’ Ammer Ali mengamalkan komunikasi dua hala dan terbuka kepada semua kakitangannya. Beliau mengambil masa untuk mendengar pandangan kakitangan beliau terutama sekali berhubung dengan harga barangan, ini kerana mereka yang menerima respon dari pelanggan tentang perkara tersebut. Kemahiran berkomunikasi yang baik dengan pelawat-pelawat, pembekal dan pelanggan yang mempunyai pelbagai latar belakang dapat meningkatkan kerjasama yang kukuh antara syarikat. Manakala komunikasi dalaman antara jabatan adalah manifestasi daripada strategi pemasaran yang berkesan dalam kalangan pekerja Mydin daripada unit yang berbeza. Oleh itu, dengan sokongan daripada pekerjanya, falsafah ini berjaya menjadi budaya organisasi setiap hari bekerja. Ciri yang ada dalam diri beliau ini membuatkan ramai orang senang bekerja dengan beliau dan disukai oleh masyarakat.


KESIMPULAN

          Kesimpulannya, seseorang yang menceburi diri dalam bidang keusahawanan ini telah berjaya untuk mendidik diri mereka supaya sentiasa berusaha untuk lebih maju ke hadapan. Malahan, usahawan juga telah menerapkan nilai integriti yang tinggi dalam diri usahawan tersebut. Usahawan yang ingin berjaya perlulah memenuhi dan mendalami ciri-ciri usahawan yang telah dinyatakan dan juga boleh mencontohi tokoh-tokoh usahawan yang berjaya seperti yang dibincangkan untuk dijadikan motivasi agar dapat berjaya seperti mereka pada suatu masa akan datang. Hal ini demikian kerana dengan adanya ciri-ciri tersebut membolehkan usahawan itu dapat mencapai matlamat yang telah ditetapkan dalam perniagaan tersebut.

          Selain itu, usahawan yang mengalami kegagalan ketika memulakan perniagaan merupakan langkah baru adalah perkara biasa bagi mereka kerana kegagalan yang dihadapi bukanlah kegagalan untuk selama-lamanya tetapi ia merupakan satu kegagalan yang akan membawa mereka ke arah yang lebih baik dan lebih berjaya berbanding dengan orang lain. Usahawan ini juga bukanlah mengusahakan sesuatu perniagaan untuk mendapatkan keuntungan semata-mata tetapi telah memberikan sumbangan yang besar kepada negara dalam menjana ekonomi serta mengukuhkan industri negara ini. 


          Usahawan yang melibatkan diri dalam bidang perniagaan ini dapat menjadikan seseorang itu lebih kreatif untuk berfikir dalam menghasilkan sesuatu produk atau perkhidmatan yang ingin dikeluarkan dalam perniagaan tersebut. Usahawan yang mempunyai semangat yang tinggi juga akan wujud dalam diri usahawan yang berjaya walaupun mereka mengetahui akan risiko yang bakal dihadapi dalam perniagaan itu. Oleh itu, setiap individu yang ingin menjalankan aktiviti perniagaan seharusnya jadikan bidang keusahawanan ini sebagai suatu bidang kerjaya dalam diri setiap bakal usahawan dan juga dapat memberikan faedah kepada pihak lain.